Program Meet & Greet bersama usahawan dan gerakan koperasi Negeri Melaka menjadi platform untuk mendengar cabaran, bertukar pandangan serta mengenal pasti peluang bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi.
Program yang berlangsung di Alai Kemboja Palace, Melaka pada 11 November 2026 itu turut disertai wakil KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), ANGKASA Negeri Melaka dan TEKUN Nasional sebagai usaha menyelaras sokongan serta memperkukuh pembangunan usahawan dan gerakan koperasi negeri.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin berkata, pembangunan usahawan tidak boleh hanya bersandarkan dasar dan angka semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan turun padang bagi memahami keperluan sebenar mereka.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan untuk terus menyokong perkembangan perniagaan melalui pelbagai inisiatif dan kemudahan pembiayaan, termasuk penyampaian cek cura pembiayaan kepada usahawan TEKUN.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran program seumpama itu membuka ruang kepada pengukuhan jaringan kerjasama dan penyelarasan usaha antara KUSKOP, ANGKASA, agensi kerajaan serta gerakan koperasi.
Menurut beliau, hubungan strategik yang dibina melalui platform seumpama ini penting bagi memperluas potensi koperasi, merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara semua pihak bagi memperluas peluang keusahawanan, meningkatkan daya saing serta memperkukuh peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi setempat.



















