Koperasi Pengusaha Cili Putrajaya Berhad disaran menerapkan semangat kebersamaan berteraskan prinsip koperasi dalam pengurusan ladang bagi memastikan kelangsungan pengeluaran serta kualiti hasil tanaman sentiasa berada pada tahap terbaik.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, amalan tersebut penting bagi memastikan setiap anggota saling membantu dan bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran sepanjang mengusahakan ladang.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke ladang koperasi berkenaan di Putrajaya pada 15 November 2026. Ketibaan beliau disambut oleh barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang diketuai Pengerusinya, Mior Mohd Fuad Mohd Tahir.
Menurut beliau, ANGKASA amat mengalu-alukan penglibatan koperasi dalam sektor asas tani sebagai usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap komoditi import, selain memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Justeru, semangat kebersamaan perlu dijadikan pegangan utama dalam pengurusan koperasi supaya anggota dapat saling membantu dan menghadapi sebarang cabaran secara bersama.
Projek tanaman cili Kulai 461 secara fertigasi yang dijana oleh Kementerian Ekonomi dengan sokongan pasaran daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat kini memasuki musim keenam dengan kapasiti penanaman sebanyak 40,000 polibeg.














