ANGKASA terus berusaha memperluas peluang perniagaan koperasi menerusi mesyuarat kolaborasi perniagaan bersama Koperasi Agro Makanan Selangor Berhad (KopAgro) di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 17 November 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Perniagaan ANGKASA, Haji Zaharuddin Haji Alias memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama strategik dalam membangunkan ekosistem industri pertanian nanas secara menyeluruh, merangkumi aktiviti huluan dan hiliran.
Perbincangan memfokuskan rantaian nilai industri nanas bermula daripada aktiviti penanaman, pengurusan ladang dan pengeluaran hasil sehinggalah kepada pemprosesan, pemasaran serta penjualan produk kepada pengguna.
KopAgro pula diwakili oleh Pengerusinya iaitu Dato’ Seri Eryna bersama barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK).
Kolaborasi ini berpotensi membuka ruang kepada penglibatan koperasi meneroka aktiviti perniagaan berskala besar untuk jangka panjang bagi kelestarian ekonomi koperasi dalam keseluruhan rantaian bekalan industri nanas, sekali gus mewujudkan peluang penjanaan pendapatan, meningkatkan nilai tambah produk serta memperkukuh daya saing perniagaan koperasi.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen ANGKASA untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dan membangunkan model perniagaan koperasi yang lebih bersepadu, mampan serta berimpak tinggi kepada gerakan koperasi negara.



