Hala tuju strategik, pembaharuan tadbir urus dan pengukuhan gerakan koperasi antarabangsa antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah International Cooperative Alliance (ICA) yang berlangsung di Shanghai, China Pada 18 November 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden ICA, Ariel Guarco itu turut meneliti beberapa perkara berkaitan pengurusan organisasi, termasuk pembaharuan struktur tadbir urus bagi penggal 2026–2030, semakan yuran keahlian dan hak mengundi serta garis panduan komunikasi organisasi.
Perbincangan turut merangkumi perkembangan keahlian ICA, termasuk permohonan keanggotaan baharu dan penarikan diri beberapa organisasi anggota sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan serta penyertaan gerakan koperasi pada peringkat global.
Antara agenda penting yang turut dibincangkan ialah pelan kerja dan bajet ICA bagi tahun 2027 yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi 2026–2030. Strategi tersebut merangkumi pengukuhan kepimpinan, peningkatan penglibatan anggota, advokasi, akses kepada pembiayaan, transformasi digital serta kelestarian gerakan koperasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyatakan sokongan terhadap inisiatif ICA untuk menyertai penubuhan Acorn Cooperative bersama Rabobank, khususnya dalam membuka peluang kepada koperasi pertanian dan pekebun kecil menyertai pasaran karbon.Inisiatif berkenaan dilihat berpotensi mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada golongan petani dan koperasi, selain menggalakkan amalan pertanian yang lebih lestari serta menyumbang kepada usaha menangani perubahan iklim.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek tadbir urus, ketelusan dalam pembahagian hasil serta perlindungan kepentingan petani dan koperasi perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan manfaat inisiatif tersebut dapat dinikmati secara adil oleh golongan sasar.



















Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut mengemukakan cadangan agar ICA menyediakan pelan komunikasi atau garis panduan yang lebih jelas bagi memperkukuh usaha promosi dan pembangunan gerakan koperasi global.
Cadangan tersebut penting dalam meningkatkan keberkesanan komunikasi dan penyelarasan, selain memperkukuh penglibatan anggota Lembaga dalam melaksanakan tanggungjawab mereka di peringkat antarabangsa.
Mesyuarat turut menerima taklimat mengenai laporan pilihan raya ICA 2026, perkembangan persidangan koperasi di Panama serta perancangan program dan mesyuarat statutori organisasi itu bagi tahun 2027.
Selain itu, usaha memperkasakan penglibatan golongan belia dalam kepimpinan koperasi antarabangsa turut diketengahkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan gerakan koperasi. Pengukuhan identiti koperasi melalui penggunaan platform digital dan domain .coop juga menjadi antara perkara yang diberikan perhatian.
Secara keseluruhannya, perbincangan tersebut mencerminkan komitmen ICA untuk memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara gerakan koperasi di seluruh dunia, selain meningkatkan peranan sektor koperasi dalam agenda pembangunan antarabangsa.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan gerakan koperasi terus mempunyai daya saing, berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi global serta kekal relevan sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan sosial yang inklusif serta mampan.


