HomeAKTIVITIANGKASA, UMK Perkukuh Kerjasama Strategik Menerusi AURA dan Pelantikan Profesor Adjung

ANGKASA, UMK Perkukuh Kerjasama Strategik Menerusi AURA dan Pelantikan Profesor Adjung

ANGKASA terus memperkukuh hubungan strategik dengan institusi pengajian tinggi menerusi kerjasama bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) serta pembangunan ANGKASA-UMK Research Academy (AURA) bersempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November 2026.

Majlis berkenaan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran dokumen MoA antara ANGKASA yang diwakili oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dengan UMK.

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek replika sumbangan ANGKASA berjumlah RM20,000 kepada UMK sebagai sokongan terhadap kerjasama serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan antara kedua-dua pihak.

Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada ANGKASA atas sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada universiti berkenaan, khususnya dalam memperluas jaringan kerjasama serta menyediakan sokongan kewangan bagi menjayakan pelbagai inisiatif bersama.

Beliau turut menyentuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak yang telah terjalin selama lima tahun menerusi penubuhan ANGKASA-AURA, dengan memberi penekanan kepada bidang koperasi dan latihan. Kerjasama tersebut menjadi platform untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan pengalaman serta keperluan sebenar gerakan koperasi.

Turut hadir mewakili pengurusan tertinggi UMK ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Ismail, serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail. Turut hadir ialah Pengarah AURA, Dr. Siti Amaliya Mohd Radyi.

Dalam perkembangan sama, majlis turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan Profesor Adjung bagi ANGKASA-AURA kepada Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman.

Pelantikan Profesor Adjung merupakan satu bentuk pengiktirafan akademik terhadap pengalaman, kepakaran dan sumbangan profesional seseorang individu yang boleh dimanfaatkan oleh institusi pengajian tinggi. Melalui pelantikan itu, kepakaran serta pengalaman dalam sektor koperasi berpotensi dikongsikan bersama warga akademik, penyelidik dan mahasiswa.

Bagi ANGKASA, pelantikan tersebut membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh hubungan antara gerakan koperasi dengan dunia akademik, di samping memperluas perkongsian ilmu dan pengalaman dalam aspek pengurusan, pembangunan serta keusahawanan koperasi.

FOI Putrajaya 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026 di PICC, dengan menghimpunkan institusi pengajian tinggi, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengetengahkan idea, inovasi, penyelidikan serta peluang kerjasama strategik.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine