HomeAKTIVITIANGKASA Perkukuh Integriti dan Tadbir Urus, Audit Dalaman Dipacu Lebih Proaktif

ANGKASA Perkukuh Integriti dan Tadbir Urus, Audit Dalaman Dipacu Lebih Proaktif

ANGKASA perlu memperkukuh fungsi audit dalaman dengan memberi penekanan terhadap pengurusan risiko, kebebasan pengauditan dan tindakan susulan bagi memastikan setiap kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani lebih awal sebelum menjejaskan pengurusan organisasi.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, audit dalaman bukan sekadar proses menyemak dokumen dan meneliti angka, sebaliknya berperanan sebagai mekanisme penting dalam memastikan sumber organisasi digunakan secara berhemah serta setiap keputusan dibuat berdasarkan peraturan dan kepentingan organisasi.

Menurut beliau, pendekatan audit perlu lebih proaktif dengan mengenal pasti kelemahan serta risiko yang berpotensi berlaku sebelum berkembang menjadi masalah lebih besar.

“Pendekatan audit dalaman tidak hanya tertumpu kepada perkara yang telah berlaku. Sebaliknya audit perlu membantu pihak pengurusan mengenal pasti risiko yang mungkin timbul pada masa hadapan.

“Kita perlu bertindak lebih awal kerana mencegah kelemahan adalah lebih baik daripada membetulkan kerosakan selepas sesuatu masalah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Persidangan Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA Bil. 2/2026 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam, Selangor pada 20 November 2026.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, persidangan berkenaan menjadi platform kepada Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) dan Bahagian Audit Dalaman, Integriti dan Risiko (BADA) untuk berkongsi maklumat serta pengalaman dalam memastikan fungsi pengauditan kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Dalam memperkukuh keberkesanan fungsi tersebut, beliau menegaskan bahawa setiap penemuan audit perlu disusuli tindakan pembetulan yang jelas, termasuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab dan tempoh pelaksanaan bagi memastikan setiap teguran diberikan perhatian sewajarnya.

“Matlamat kita bukan untuk mencari pihak yang bersalah. Sebaliknya kita mahu memastikan kelemahan tidak berulang dan sistem kerja menjadi lebih baik,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan mengemas kini proses gerak kerja dan struktur sedia ada, selain menambah baik peraturan serta cadangan pindaan yang berkaitan bagi memastikan pelaksanaan tugas lebih teratur dan berkesan.

Pada masa sama, penyediaan kursus dan latihan berkaitan, khususnya dalam bidang pengauditan, perlu diberi perhatian bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan profesional warga kerja.

Dalam pada itu, beliau menggariskan enam amanat utama bagi memperkukuh hala tuju audit dalaman ANGKASA, merangkumi pemantapan budaya integriti dan tadbir urus, pelaksanaan audit secara bebas serta profesional, pengurusan risiko secara sistematik, tindakan susulan terhadap penemuan audit, peningkatan keupayaan warga kerja audit dan pemanfaatan teknologi dalam proses pengauditan.

Menurut beliau, setiap penilaian audit perlu dilaksanakan secara objektif berdasarkan fakta dan bukti tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak bagi memastikan laporan yang dihasilkan menggambarkan kedudukan sebenar organisasi.

Seiring perkembangan teknologi, penggunaan analisis data juga perlu dimanfaatkan bagi mempercepatkan proses semakan, mengenal pasti corak transaksi luar biasa serta meningkatkan ketepatan penilaian audit.

Mengulas peranan audit dalam organisasi, beliau berkata fungsi berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pihak yang hanya bertanggungjawab menegur kelemahan, sebaliknya perlu berperanan sebagai rakan strategik kepada pihak pengurusan dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memperkukuh keupayaan organisasi.

Sehubungan itu, beliau berharap hubungan kerja antara JAD, BADA dan pihak pengurusan terus diperkukuh berasaskan sikap saling menghormati, keterbukaan serta komitmen bersama.Beliau turut berharap hasil persidangan dapat diterjemahkan melalui pelan tindakan yang lebih tersusun bagi menghasilkan perubahan nyata, termasuk proses kerja lebih cekap, kawalan dalaman lebih kukuh, risiko lebih terkawal dan tahap akauntabiliti lebih tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian Presiden ANGKASA menghadiri persidangan berkenaan.

Beliau turut merumuskan bahawa pelbagai usaha dan tugasan berkaitan audit telah berjaya dilaksanakan, sekali gus mencerminkan komitmen jawatankuasa dalam memperkukuh fungsi pengauditan organisasi.

Program tersebut turut dihadiri Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine