Cadangan kerjasama dalam segmen automotif yang melibatkan institusi perbankan dan pengeluar kenderaan elektrik (EV) antara perkara yang dibincangkan ANGKASA bersama Koperasi Perdasama Putrajaya Berhad (KPPB), dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik yang dapat memberikan manfaat kepada gerakan koperasi dan anggota.
Usaha tersebut turut melibatkan Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) dan IPINFRA Networks Sdn. Bhd. menerusi satu lagi sesi pertemuan berasingan yang berlangsung di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya pada 20 November 2026. Kedua-dua sesi pertemuan itu dipengerusikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Dalam pertemuan bersama KPPB, kedua-dua pihak membincangkan cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), khususnya bagi kerjasama dalam segmen automotif yang melibatkan rakan kerjasama perbankan dan pengeluar EV. Perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama yang dapat dimanfaatkan oleh koperasi dan anggota, selain peluang memperkukuh hubungan strategik pada masa hadapan.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menegaskan komitmen ANGKASA terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar dan amalan mesra alam (Go Green), selaras dengan saranan serta penekanan kerajaan terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, dalam pertemuan bersama GITC dan IPINFRA Networks Sdn. Bhd., perbincangan tertumpu kepada cadangan kerjasama strategik yang berpotensi memberikan manfaat kepada gerakan koperasi dan anggota. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyatakan bahawa ANGKASA sentiasa mengalu-alukan cadangan penambahbaikan serta jalinan kerjasama yang baik, khususnya dalam usaha memperkukuh gerakan koperasi. Beliau berharap kerjasama yang dibincangkan dapat membuka ruang kepada pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat serta kepentingan bersama kepada semua pihak.
KPPB diwakili oleh Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Mustapa Haji Ali bersama barisan kepimpinan tertinggi koperasi berkenaan. Turut hadir ialah Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Sekretariat dan Tadbir Urus ANGKASA, Che Mahalim Che Hashim.
Bagi pihak GITC, pertemuan diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Br. Jamil Bakri, manakala IPINFRA Networks Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suzairi Abdul Rahman.




