Friday, August 1, 2025
HomeAKTIVITISayembara UAC Julang Legasi Perjuangan Ungku Aziz

Sayembara UAC Julang Legasi Perjuangan Ungku Aziz

Sayembara “Menelusuri Warisan Ungku Aziz” anjuran Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya dilihat sebagai platform penting dalam menghargai pemikiran dan perjuangan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sayembara tersebut menyatukan warisan pemikiran dan kreativiti anak muda serta menghidupkan kembali semangat perjuangan Ungku Aziz dalam bentuk yang lebih segar dan relevan dengan generasi masa kini.

Beliau berkata, Ungku Aziz merupakan tokoh yang memperjuangkan ekonomi rakyat melalui koperasi dan pendidikan, malah menjadi pengasas kepada penubuhan ANGKASA yang kini menaungi lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta orang.

“Gerakan koperasi hari ini mencatatkan perolehan sebanyak RM68.2 bilion dengan aset mencecah RM173.35 bilion. Ini adalah sebahagian hasil perjuangan jangka panjang yang diasaskan oleh Ungku Aziz,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya pada 31 Julai 2025.

Beliau turut menyeru agar pemikiran dan perjuangan Ungku Aziz terus diangkat dalam sistem pendidikan dan dasar pembangunan negara kerana falsafah beliau mengenai keadilan ekonomi dan pemilikan kolektif semakin relevan dalam menghadapi ketidaksaksamaan ekonomi masa kini.

Sementara itu, Pengarah UAC, Datin Sri Profesor Dr. Suhaiza Hanim Dato’ Mohamad Zailani dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa UAC yang diasaskan berlandaskan idea dan falsafah Ungku Aziz, akan terus komited dalam usaha membanteras kemiskinan serta menyebarluaskan pemikiran tokoh negara tersebut. Usaha ini akan dilaksanakan menerusi penganjuran pelbagai program bermanfaat dengan kerjasama badan korporat dan syarikat swasta.

Sayembara “Menelusuri Warisan Ungku Aziz” menerima lebih 100 penyertaan pelajar dan pencinta sastera tanah air yang menyampaikan karya berbentuk sajak dan poster digital sebagai satu bentuk ekspresi seni dan penghargaan terhadap warisan tokoh negara itu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penasihat UAC, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Dekan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sabzali Musa Kahn, Pengarah Negeri, Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Lumpur, Encik Mohd Hafis Hashim, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine