Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIPetanque Buktikan Peranan Koperasi Sebagai Wahana Eratkan Silaturahim

Petanque Buktikan Peranan Koperasi Sebagai Wahana Eratkan Silaturahim

Penganjuran Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2025 membuktikan bahawa koperasi bukan sahaja berperanan dalam bidang ekonomi, malah menjadi wahana sosial yang merapatkan silaturahim melalui sukan.

“Jika bola sepak dan bola keranjang mampu mengisi stadium besar, sukan seperti petanque pula melahirkan suasana komuniti yang mesra, inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” kata Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam ucapan perasmian Majlis Makan Malam Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2025 di Kuala Kangsar, Perak pada 19 September 2025.

“Dari gelanggang sekolah hingga ke kejohanan besar, petanque telah berkembang menjadi sukan yang dekat di hati rakyat,” tambahnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, YB Dato’ Salbiah Mohamed yang merasmikan majlis itu bagi pihaknya.

Menurut beliau, menerusi penganjuran sukan seperti petanque, koperasi memperlihatkan sinergi antara ekonomi dan kebajikan masyarakat.

“Sinergi inilah yang kita perlukan untuk melahirkan rakyat yang cergas tubuh badan, cerdas fikiran dan sejahtera hidupnya,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, petanque unik kerana bersifat inklusif dan boleh dimainkan oleh semua golongan tanpa mengira jantina, usia mahupun keupayaan fizikal.

Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata kejohanan tersebut bukan sekadar medan persaingan sukan, bahkan turut membuka ruang untuk memperkukuh jaringan dalam kalangan gerakan koperasi.

“Kita bukan sahaja berkenalan menerusi sukan, malah mengambil peluang membina jaringan demi meneruskan perjuangan koperasi dalam usaha meningkatkan martabat gerakan ini,” ujarnya.

Kejohanan yang akan berlangsung selama dua hari bermula 20 September 2025 di Arena Petanque Kuala Kangsar bakal menyaksikan 192 pemain daripada 64 pasukan seluruh negara berentap dalam satu misi untuk merebut piala Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2025.

Mereka bersaing dalam empat kategori iaitu Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Lelaki), Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Perempuan), Kategori Koperasi Dewasa (Lelaki) dan Kategori Koperasi Dewasa (Perempuan), selain turut menampilkan Kategori Jemputan ANGKASA.

Hadir sama dalam majlis makan malam itu ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Perak, Puan Zuhaini Romli, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2025, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa.

Turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Perak merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2025, Haji Mohamed Shafie Abd. Karim, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim dan barisan Pengurusan Kanan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine