Delegasi ANGKASA memulakan lawatan rasmi ke Indonesia pada 4 Februari 2026 dengan ketibaan di Jakarta, diketuai oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik ANGKASA untuk memperkukuh jaringan kerjasama koperasi di peringkat serantau, khususnya antara Malaysia dan Indonesia yang berkongsi persamaan dari segi sosioekonomi serta sejarah pembangunan gerakan koperasi.
Pada hari pertama lawatan, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) yang terdiri daripada Timbalan Presiden DEKOPIN, Dr. Agung Sudjatmoko, Naib Presiden DEKOPIN, Encik Irsyad Muhtar, dan Dr. Darjad Sudrajat bagi membincangkan hala tuju kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh dan mampan.
Perbincangan tersebut memfokuskan kepada perkongsian pengalaman dalam aspek tadbir urus koperasi, pembangunan modal insan, digitalisasi koperasi serta peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negara.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menegaskan bahawa hubungan strategik antara ANGKASA dan DEKOPIN perlu diperkukuh secara berterusan demi memastikan kelangsungan dan daya saing gerakan koperasi di rantau ASEAN.
Menurut beliau, “Kerjasama erat antara badan puncak koperasi Malaysia dan Indonesia amat penting bagi memastikan koperasi kekal relevan serta mampu berdaya saing di peringkat global.”
Lawatan hari pertama ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan persefahaman awal sebelum pelaksanaan program kerjasama yang lebih konkrit sepanjang lawatan rasmi delegasi ANGKASA di Indonesia.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.















