Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dijangka akan diwartakan pada Jun 2026 dan mula dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada Disember 2026.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025 yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 4 ogos 2025.
Menurut beliau, Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi tersebut kini berada pada fasa akhir penggubalan sebelum dibentangkan di Parlimen pada awal Disember depan.
โSepanjang proses penyediaannya, sebanyak 23 sesi libat urus telah dilaksanakan oleh KUSKOP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membabitkan penyertaan 47 agensi kerajaan, koperasi premier, persekutuan, ANGKASA, universiti tempatan, koperasi dan anggota pentadbiran serta kerajaan negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Sarawak.
Dalam masa sama, KUSKOP turut mengadakan MPKK Bilangan 2/2025 lebih awal sebelum sesi pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan Oktober ini untuk memastikan gerakan koperasi dapat menyuarakan input dan cadangan Belanjawan dari perspektif koperasi untuk dipertimbang oleh Kementerian Kewangan.
Hal ini penting bagi memastikan Belanjawan 2026 disediakan tidak meminggirkan sektor koperasi negara,โ katanya.









Tambahnya lagi, akta baharu yang membabitkan 96 peruntukan asal yang akan disusun semula dan ditambah baik tersebut dirangka berdasarkan keperluan semasa serta aspirasi untuk memperkukuh sektor koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi rakyat. Ia juga selari dengan Prakarsa 9 dalam Rancangan Malaysia ke-13 yang diumumkan Perdana Menteri pada 31 Julai 2025, iaitu memperkasa sektor ketiga sebagai salah satu instrumen keadilan sosial dan kesaksamaan peluang.
โDengan pewartaan akta koperasi yang baharu kelak, kerajaan berharap gerakan koperasi negara akan lebih cekap, dinamik dan bersedia mendepani cabaran ekonomi global serta memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat,โ jelasnya.
Tiga kertas pembentangan turut dibincangkan meliputi satu kertas perbincangan dasar dan dua kertas makluman yang berkaitan perkembangan semasa sektor koperasi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah juga berpeluang memberi cadangan agar kerajaan membantu 3,500 buah kedai koperasi BA100 berdaftar untuk mendapatkan Sistem Point of Sale (POS) seiring dengan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 agar koperasi-koperasi yang terlibat mampu bergerak lebih efisien.
โSetakat ini, hanya sekitar 1,000 buah outlet koperasi yang menggunakan Sistem POS dan selebihnya masih menggunakan cara manual kerana kekangan kewangan akibat kos pemasangan Sistem POS yang tinggi,โ ujarnya.
Beliau turut meminta kerajaan untuk mempertimbangkan penyenaraian kedai koperasi sebagai pusat penebusan bantuan RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mulai 31 Ogos 2025.











MPKK Bilangan 2/2025 turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KUSKOP, YB Datoโ Sri Ramanan Ramakrishnan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datoโ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor dan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datoโ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Mesyuarat turut disertai oleh 14 Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio koperasi, sembilan wakil gerakan koperasi, dua wakil akademik dan satu wakil industri.