Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIAktiviti Koperasi Boleh Bantu Imarahkan Masjid

Aktiviti Koperasi Boleh Bantu Imarahkan Masjid

Aktiviti yang digerakkan melalui Koperasi Kariah Masjid (KKM) sebenarnya boleh dijadikan sebagai salah satu pendekatan dalam usaha untuk mengimarahkan lagi masjid.

Justeru, KKM perlu berperanan secara lebih aktif dengan cara menjadikan setiap aktiviti koperasi sebagai penarik minat masyarakat untuk mengunjungi masjid.

Demikian disuarakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia (KONSORMAS), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Pusat Dobi Masjid Sharifah Fatimah bertempat di perkarangan Masjid Sharifah Fatimah, Jitra Kedah pada 16 Februari 2026.

Menurut beliau, aktiviti perniagaan dobi yang dijalankan oleh Koperasi Kariah Masjid Sharifah Fatimah Jitra Berhad (KOOP MSF) boleh menjadi antara pendekatan yang baik oleh koperasi dalam membentuk sinergi pengimarahan.

“Saya yakin projek dobi ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat, meningkatkan penglibatan anggota koperasi dalam aktiviti sampingan sekali gus menjana sumber kewangan berterusan bagi menyokong lebih banyak program seperti keagamaan, sosial dan pendidikan di masjid.

Selain menjadi landasan kepada lebih banyak cabang ekonomi baharu serta meningkatkan jualan produk koperasi, komuniti yang datang juga boleh menunaikan ibadah solat di masjid sementara menunggu pakaian mereka siap dibasuh dan dikeringkan”, ujar beliau.

Hadir sama ialah barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kedah yang diketuai pengerusinya, Tuan Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, Penolong Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Encik Mohd Sa’di Md Said, Pengerusi Masjid Sharifah Fatimah, Ustaz Haji Mohamad Fida’iy Zainal Abidin Al-Hafiz, Pengerusi KOOP MSF, Tuan Haji Faharol Razi Shaari, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine