ANGKASA menzahirkan hasrat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar pengagihan dana Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb) disusun semula supaya usaha membangunkan gerakan koperasi di Malaysia dapat disalurkan secara lebih berkesan, telus dan inklusif.
Dalam kunjungan hormat ke pejabat Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick pada 17 September 2025, kepimpinan ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan KUSKOP sebagai rakan strategik dalam usaha menambah baik mekanisme sedia ada agar gerakan koperasi pelbagai saiz dapat dibangunkan secara lebih adil dan berimpak tinggi tanpa kekangan birokrasi dan jurang kapasiti.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, jumlah dana KWAPb yang diterima ANGKASA untuk tujuan pembangunan koperasi semakin mengecil menyebabkan badan apeks tersebut perlu memperuntukkan 30 peratus daripada keuntungan bersih sendiri setiap tahun.
“Sebelum ini, ANGKASA pernah menerima sehingga RM16 juta setahun daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dan dana tersebut membolehkan pelbagai program pembangunan koperasi dilaksanakan dengan lebih agresif, termasuk meningkatkan daya saing, membina keupayaan pengurusan serta memperkukuh jaringan pasaran koperasi. Inisiatif ini sejajar dengan Deklarasi Putrajaya 2012 yang menyelaraskan fungsi antara ANGKASA, SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), sekali gus menetapkan peranan ANGKASA untuk menyatukan dan mewakili gerakan koperasi negara, merangsang perniagaan koperasi dan memperluas pemahaman terhadap prinsip koperasi.
Selaras dengan arus perubahan sosioekonomi semasa, ANGKASA menegaskan keperluan memperkukuh agenda pemerkasaan koperasi dengan memohon peruntukan yang lebih besar dan mudah diakses secara terus di bawah KUSKOP. Pendanaan yang lebih mampan dan tersusun ini diyakini mampu mempercepat pelaksanaan program pembangunan koperasi secara lebih efisien, telus dan berimpak tinggi, sekali gus memastikan koperasi kekal relevan sebagai pemacu ekonomi rakyat,” katanya.










Datuk Ewon dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong ANGKASA dalam segala urusan pembangunan koperasi negara, sambil menyifatkan badan apeks itu sebagai rakan strategik utama yang memainkan peranan kritikal dalam memacu pertumbuhan sektor koperasi serta memperkukuh ekonomi rakyat.
Beliau berjanji akan meneliti semua cadangan dikemukakan ANGKASA termasuk pelantikan seorang Senator mewakili gerakan koperasi bagi memastikan suara lebih 16,000 koperasi dan 7.2 juta anggotanya dapat diangkat secara rasmi di Parlimen.
Dalam pertemuan sama, ANGKASA turut menyatakan komitmen sebagai rakan strategik utama KUSKOP dalam melaksanakan resolusi Kongres Koperasi Kebangsaan (2024) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, akses pasaran, digitalisasi serta peranan koperasi sebagai penyumbang utama ekonomi negara. ANGKASA optimis dengan sokongan KUSKOP, gerakan koperasi dapat menjadi pemacu penting dalam menjayakan aspirasi ekonomi Madani.






Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA termasuk Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil KUSKOP), Encik Azizul Alias, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kewangan), Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha.