Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah mengetuai delegasi ANGKASA dalam satu kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur bertemu Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Datoโ Indera Hermono pada hari ini (6 Ogos 2025).
Agenda utama perbincangan adalah berkaitan Resolusi ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025) selain memohon sokongan pihak TYT Datoโ Indera Hermono untuk membawa resolusi tersebut untuk perhatian selanjutnya oleh kerajaan Indonesia.
Kunjungan hormat itu juga merupakan tindakan susulan kepada surat rasmi yang telah dihantar kepada Pejabat Presiden Indonesia dan pihak kedutaan sebelum ini selepas berlangsungnya ACD2025 pada 14 Mei 2025.
Menurut Datuk Seri. Dr. Abdul Fattah, Republik Indonesia sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN dan OIC diharap dapat sama-sama menjayakan inisiatif penubuhan Kesatuan Koperasi OIC (OIC-CU) yang sedang diusahakan oleh ANGKASA dan ASEAN Cooperative Organization (ACO).
Katanya, Perdana Menteri Malaysia dijangka akan memperjuangkan agenda koperasi pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang. Justeru, ANGKASA berharap resolusi tersebut akan mendapat perhatian Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Sementara itu, TYT Datoโ Indera Hermono menyatakan sokongan kerajaan Indonesia terhadap hasrat ANGKASA.
Beliau juga menasihatkan supaya ACO terus menjalankan program advokasi dengan organisasi berkaitan ASEAN agar lebih banyak sokongan dapat diraih untuk membawa agenda koperasi ke peringkat serantau.
โACO dicadangkan untuk mengadakan kerjasama bersama pihak Pusat Kerjasama Serantau IMT-GT dan ASEAN Business Advisory Council (ASEAN BAC).โujarnya lagi.
OIC-CU kini dalam proses penubuhan dan matlamatnya adalah untuk mencipta platform yang kuat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat merentasi dunia Islam melalui model koperasi.
Rangkaian tersebut diharap dapat memupuk perkongsian dengan Institusi Kewangan Islam dan mendapat pengiktirafan dasar dalam rangka kerja OIC.
Perkongsian Indonesia sebagai pemimpin dalam dunia Islam akan memberikan momentum yang diperlukan untuk mengubah visi menjadi realiti.
Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Datoโ Haji Kamarudin Ismail dan Minister Counsellor (Menteri Kaunselor) Indonesia, Encik Hendra Purnama Iskandar.



