ANGKASA Negeri Johor berjaya menghimpunkan 331 pasukan melibatkan hampir 1,000 peserta di Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Negeri Johor 2025, bagi menentukan pasukan terbaik kategori senior dan junior yang akan mewakili kejohanan di peringkat kebangsaan pada bulan September tahun ini.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 23 Ogos 2025 itu telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, bertempat di Arena Emas, Johor Bharu, Johor pada 24 Ogos 2025.
Beliau dalam ucapannya berkata, ANGKASA sentiasa komited dalam memperkasakan peranan koperasi bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah dalam membina modal insan, perpaduan sosial dan kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, salah satu usaha terkini ANGKASA yang mendapat perhatian adalah inisiatif memajukan sukan petanque sebagai aktiviti berimpak tinggi dalam kalangan anggota koperasi dan masyarakat umum.
Tambahnya, sambutan yang diterima pada tahun ini amat menggalakkan, sekali gus membuktikan minat dan kesediaan masyarakat untuk menjadikan petanque sebagai sukan yang ideal untuk disatukan dalam aktiviti koperasi dan komuniti.
Terdahulu, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abdul Hamid berkata, inisiatif ini selaras dengan hasrat ANGKASA Pusat untuk memartabatkan koperasi sebagai pemangkin dalam membina masyarakat yang bersatu, sihat dan berdaya saing.
Hadir sama ialah barisan Jawatankuasa ANGKASA Negeri Johor dan Pengurus Besar Bahagian Koporat ANGKASA, Encik Halim Ibrahim.






















