Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIANGKASA Kunjungi Kilang Pengeluaran Yakult di Jepun

ANGKASA Kunjungi Kilang Pengeluaran Yakult di Jepun

ANGKASA melalui Bahagian Pendidikan dan Perniagaan telah menyertai program Lawatan Akademik ke Tokyo, Jepun pada 18 hingga 21 November 2025 bagi meninjau secara lebih dekat tentang proses pengeluaran produk minuman jenama Yakult.

Program yang ditaja sepenuhnya oleh Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Yakult Japan Itu merupakan kesinambungan kerjasama strategik yang telah terjalin sejak tahun 2018 antara kedua-dua pihak dalam menjayakan aktiviti jualan dan pemasaran produk minuman probiotik tersebut melalui koperasi sekolah.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang mengetuai delegasi ANGKASA turut disertai Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengurus Besar Bahagian Pendidikan dan Perniagaan, Haji Ahmad Marzuki Ismail dan Pengurus Seksyen Pendidikan, Encik Abu Bakar Busmah.

Pada 19 November 2025, delegasi ANGKASA telah dibawa mengunjungi Kilang Yakult Japan pada sesi pagi dan disambut mesra oleh barisan kakitangan Yakult. Rombongan diberikan penerangan lengkap mengenai proses pembuatan minuman Yakult, kepentingan amalan kerja berpasukan serta budaya kerja berdisiplin tinggi yang diamalkan oleh syarikat tersebut.

Delegasi turut didedahkan kepada pelbagai rangkaian produk Yakult yang bukan sahaja terhad kepada minuman probiotik, malah turut merangkumi produk kecantikan dan kesihatan berasaskan teknologi bakteria baik.

Pada sesi petang, rombongan dibawa melawat Institut Penyelidikan Yakult, iaitu pusat R&D utama bagi kajian bakteria Lactobacillus casei Shirota strain. Peserta diberikan taklimat oleh Mr. Shinyzu iaitu Pegawai dari Pusat Institut Yakult Jepun mengenai fungsi bakteria baik, kepentingan probiotik kepada sistem pencernaan serta hubungan langsung antara penyelidikan saintifik tersebut dengan penghasilan minuman Yakult yang kini menjadi pilihan jutaan pengguna di seluruh dunia.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, kerjasama berterusan antara ANGKASA dan Yakult bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan koperasi sekolah, malah membuka ruang pembelajaran antarabangsa dalam aspek kesihatan, pengurusan perniagaan, inovasi produk dan budaya kerja efektif.

Program ini juga katanya boleh menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan lagi koperasi sekolah sebagai agen pembangunan kesihatan dan keusahawanan pelajar di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine