Lawatan delegasi ANGKASA diteruskan ke Bogor, Indonesia pada hari ini (7 Februari 2026) dengan perasmian penubuhan Koperasi Masjid Al Hurriyah yang terletak di Kampus IPB Dramaga.
Koperasi ini dilihat sebagai model koperasi masjid berasaskan institusi pendidikan tinggi yang berpotensi besar dalam melahirkan usahawan koperasi berpengetahuan.
Delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut diberi taklimat mengenai operasi koperasi, struktur pengurusan serta aktiviti ekonomi yang sedang dan bakal dilaksanakan.
Turut menyambut delegasi ialah Ketua Umum DKM Al Hurriyyah IPB yang diwakili oleh Kepala Bidang Haji dan Umrah Al Hurriyyah IPB, Prof. Dr. Hamim, serta Kepala Lembaga Kepemimpinan dan Pendidikan Eksekutif (LKPE) IPB yang diwakili oleh Dr. Pria Sembada.
Lawatan tapak memberi gambaran jelas mengenai potensi koperasi masjid dalam menyokong keperluan warga kampus dan komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyatakan bahawa sinergi antara masjid, koperasi dan institusi akademik mampu memperkukuh ekosistem ekonomi berasaskan ilmu.
Menurut beliau, “Model koperasi masjid di institusi pendidikan tinggi wajar diperluas sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi berteraskan ilmu.”
Program hari keempat ini mengukuhkan komitmen ANGKASA dalam memperluas jaringan koperasi masjid di Indonesia.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.






















