Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIANGKASA Sasar 1,000 Koperasi Anjur PJRM Tahun 2026

ANGKASA Sasar 1,000 Koperasi Anjur PJRM Tahun 2026

ANGKASA mensasarkan 1,000 koperasi di seluruh negara menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pada tahun 2026 dengan jangkaan perolehan sehingga RM50 juta.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran PJRM oleh koperasi menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 245 siri dilaksanakan pada tahun 2024 dengan penglibatan hampir 100 koperasi, manakala jumlah itu meningkat kepada 652 siri pada tahun 2025 melibatkan 250 koperasi.

“Bagi tahun 2026, ANGKASA memohon pertimbangan KPDN agar peruntukan bajet PJRM ditingkatkan supaya lebih banyak koperasi peruncitan dapat menyertai program ini, sekali gus membantu meningkatkan perolehan koperasi,” katanya.

Beliau berkata, ANGKASA turut menjangkakan jumlah siri PJRM oleh koperasi pada tahun 2026 akan meningkat kepada lebih 2,800 siri dan memberi manfaat kepada lebih setengah juta pengguna, khususnya di kawasan luar bandar yang sukar mendapatkan bekalan barangan asas harian.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi ANGKASA dalam kunjungan hormat bertemu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh di Putrajaya.

Menurutnya, penganjuran PJRM sebelum ini berjaya meningkatkan perolehan koperasi luar bandar sehingga RM50,000 sekali gus membuktikan impak besar program itu dalam menyokong kelangsungan ekonomi koperasi.

Selain menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah, beliau berkata penganjuran program turut memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan harian serta memperluas pendedahan mengenai peranan koperasi di peringkat komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata ANGKASA berharap kerjasama strategik bersama KPDN di peringkat pusat dan negeri bagi penganjuran PJRM 2026 dapat memperluas peranan koperasi dalam rantaian peruncitan dan pengedaran barangan keperluan asas, di samping meneroka potensi pembangunan usahawan koperasi, pelaksanaan program kawalan harga serta inisiatif kesedaran pengguna menerusi jaringan koperasi di peringkat komuniti.

Sementara itu, Datuk Dr. Fuziah menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ANGKASA dalam memperkasakan koperasi menerusi penganjuran PJRM dan percaya koperasi merupakan wadah yang tepat untuk memperkukuh komuniti luar bandar sekali gus membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

“KPDN di peringkat pusat dan negeri akan memudahkan segala urusan ANGKASA bagi penganjuran PJRM selepas ini serta melunaskan semua tuntutan yang masih belum diselesaikan bagi tahun-tahun berkenaan secepat mungkin.

Pada masa sama, saya berharap ANGKASA dapat menambah nilai PJRM dengan memperbanyakkan tawaran produk serta memperkemas aspek pelaksanaan termasuk menangani sebarang isu teknikal,” jelasnya.

Hadir sama dalam kunjung hormat tersebut ialah Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan, Syarikat dan Jualan Langsung KPDN, Dato’ Rohaizi Bahari dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perniagaan Koperasi ANGKASA, Puan Nurul Izatee Md Yusoff, Pengurus Besar Bahagian Perdagangan Komersial ANGKASA, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Perniagaan ANGKASA, Haji Wan Mohd Azeelan Haji Adnan dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine