ANGKASA dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam di Putrajaya pada 3 November 2025 telah mengadakan pertemuan strategik yang membuka ruang baharu kerjasama dua hala dalam memperkukuh gerakan koperasi serantau.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, Brunei Darussalam mempunyai potensi besar menjadi model transformasi sosioekonomi menerusi pelaksanaan dua model koperasi komuniti iaitu koperasi sekolah dan Koperasi Kariah Masjid (KKM) yang telah terbukti berkesan di Malaysia.
Katanya, populasi Brunei yang padat dengan lebih 440,000 penduduk dan struktur masyarakat yang terhubung menjadikannya ekosistem ideal untuk pembangunan model sosioekonomi koperasi berskala komuniti.
“Dengan falsafah Melayu Islam Beraja serta sokongan kukuh institusi masjid dan sekolah, Brunei berpotensi menjadi _Centre of Excellence_ bagi gerakan koperasi ASEAN.
Tambahnya lagi, koperasi sekolah di Malaysia kini telah berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 1968 dengan lebih 2,430 buah koperasi dan keanggotaan melebihi 1.7 juta pelajar. Koperasi sekolah bukan lagi sekadar kedai runcit tetapi telah menjadi platform keusahawanan dinamik yang menguruskan perkhidmatan percetakan, pelancongan, pertanian dan kafe dengan 44 koperasi mencatat perolehan lebih RM1 juta pada tahun ini
Beliau mencadangkan agar model ini disepadukan dengan sistem pendidikan Brunei melalui integrasi dengan SPN21 dan Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC) menjadikan koperasi sekolah sebagai ‘makmal hidup’ yang memberi ruang kepada pelajar untuk menguruskan perniagaan sebenar, mempraktikkan teori keusahawanan serta memahami nilai demokrasi koperasi satu anggota satu undi.
“Penubuhan KKM di Brunei juga berpotensi menjadi pemacu ekonomi ummah. Di Malaysia, terdapat 577 koperasi masjid berdaftar dengan modal syer terkumpul sebanyak RM16.56 juta dan perolehan tahunan melebihi RM30 juta.
Brunei memiliki struktur sosial yang lebih padat serta sistem pemantauan masjid yang mantap justeru berupaya memperkukuh model ini dengan lebih berkesan untuk menangani kos sara hidup, mewujudkan peluang ekonomi setempat dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan ANGKASA untuk berkongsi kepakaran dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Kementerian Pendidikan Brunei melalui latihan komprehensif, bantuan teknikal, modul pembangunan koperasi dan rangka kerja tadbir urus yang telah terbukti berjaya.
“Kerjasama ini berteraskan semangat persaudaraan ASEAN dan selaras dengan sasaran ACO untuk meningkatkan sumbangan koperasi kepada 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau menjelang 2030.











Sementara itu, Penolong Pengarah Pengajian merangkap Duta Pendidikan Brunei, Encik Zulhilmi Haji Asli dalam ucapannya berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif ANGKASA dan akan membawa cadangan tersebut ke Kementerian berwajib di Brunei.
“Pihak kami akan membawa kertas cadangan rasmi daripada ANGKASA ke Brunei khususnya kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei serta Kementerian Pendidikan Brunei untuk diperhalusi dengan lebih mendalam.
Besar harapan kami untuk melihat koloborasi ini berjaya sekali gus menerima kunjungan serta tunjuk ajar daripada ANGKASA yang pastinya akan membawa manfaat besar kepada komuniti di Brunei,” katanya.
Hadir sama dalam kunjung hormat tersebut ialah Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin dan Ketua Pengarah Eksekutif Smart Scoring, Encik Thean Kai Sheung.



