Oleh: Mohd Rais Ismail, Pengurus Seksyen Pertanian dan Perladangan, Bahagian Pertanian Asas Tani dan Perladangan ANGKASA
Satu sesi panel berprofil tinggi bertajuk ‘Cooperative as Cocoa Enabler‘ telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah membincangkan peranan strategik gerakan koperasi dalam memperkukuh industri koko negara secara mampan dan berdaya saing.
Sesi yang menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara ini dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail. Beliau mengetengahkan cabaran seperti turun naik harga koko global serta menekankan keperluan inovasi melalui penggunaan teknologi baharu dalam modenisasi struktur pengurusan dan operasi.
Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik turut berkongsi mengenai pembangunan ekosistem koko yang digerakkan oleh ANGKASA sebagai pelengkap kepada dasar dan pelan strategik Lembaga Koko Malaysia. Penekanan diberikan kepada aspek pembiayaan, latihan, pemasaran dan penggunaan teknologi digital dalam industri koko koperasi.



Wakil antarabangsa dari Ghana, Mr. Issifu Issaka, mengetengahkan kepentingan pensijilan seperti Fairtrade dan UTZ Certified dalam menjamin harga adil untuk petani, di samping isu struktur pemilikan tanah dan perubahan iklim. Beliau juga menyeru penglibatan lebih aktif wanita dan belia dalam sektor pertanian koko.
Sementara itu, I Ketut Wiadnyana dari Indonesia berkongsi kejayaan Koperasi Kakao Kerta Semaya Samaniya dalam meningkatkan taraf hidup petani melalui pengumpulan produk secara kolektif, rundingan harga dan kawalan kualiti. Beliau turut menyentuh usaha koperasi dalam melindungi kelestarian alam sekitar.
Dari Sarawak, wakil Koperasi Kluster Koko, Mr. Cyril Lagin, memperkenalkan strategi pengeluaran coklat single-origin bernilai tinggi, serta kejayaan penjenamaan dan pemasaran produk koko tempatan ke pasaran antarabangsa.
Penyertaan ANGKASA dalam Malaysian International Cocoa Fair 2025 menandakan penglibatan sulungnya di peringkat antarabangsa, membuka ruang kepada jaringan perniagaan baharu dan pendedahan global terhadap produk koperasi tempatan.
Forum diakhiri dengan rumusan yang menyeru kepada dasar sokongan yang kukuh, kerjasama rentas negara dan penerapan teknologi moden dalam menjadikan koperasi sebagai pemain utama industri koko yang mampan dan inklusif.
Pada sesi ini juga, ANGKASA memperkenalkan produk coklat sulungnya, Roshe Velle, kepada para delegasi.