Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat selama tiga hari dua malam di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang meninggalkan kenangan manis buat 23 delegasi dari tujuh negara Asia Pasifik yang menyertai Program Imersi Serantau ICA-AP Mengenai Pelancongan Koperasi (ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism) bermula 22 Julai 2026.
Sepanjang berada di Kampung Peruas, peserta berpeluang merasai kehidupan bersama komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti yang diaturkan oleh Koperasi Homestay Kampung Peruas Raub Berhad (KOPERAD), termasuk berjalan di sekitar kampung, memetik hasil tanaman, menyertai demonstrasi masakan tradisional Pahang, permainan tradisional, aktiviti air, demonstrasi pemakaian tanjak, persembahan kebudayaan, Awan Karpet Trail Walk, demonstrasi menoreh getah serta sesi perkongsian ilmu mengenai pelancongan koperasi.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) serta Jawatankuasa Koperasi dalam Institusi Pendidikan ICA-AP (ICEI), dengan ANGKASA sebagai tuan rumah.
Dalam sesi perkongsian, Naib Presiden ANGKASA merangkap Naib Pengerusi ICEI, Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, program berkenaan mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua jawatankuasa dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman, perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti koperasi.
Menurut beliau, Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP pula berperanan menterjemahkan pengalaman tersebut kepada peluang perniagaan yang praktikal serta membentuk jaringan kerjasama koperasi dengan koperasi (cooperative-to-cooperative) yang mampan di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata, pelancongan koperasi bukan sekadar menawarkan pengalaman kepada pelancong, malah merupakan model perniagaan yang mampu menjana pendapatan, menyokong usahawan tempatan, mempromosikan produk dan perkhidmatan koperasi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar tanpa mengabaikan pemeliharaan budaya, warisan dan alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balasubramanian (Balu) Iyer berkata, kerjasama antara koperasi di rantau Asia Pasifik perlu terus diperkukuh melalui lebih banyak program pertukaran dan perkongsian pengalaman dalam bidang pelancongan koperasi.
Beliau berkata, kejayaan pelancongan koperasi tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelawat semata-mata, sebaliknya melalui pengalaman bermakna yang diwujudkan, penglibatan komuniti serta kelestarian yang mampu dicapai.
Menurut beliau, pembangunan pelancongan koperasi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk koperasi, komuniti, kerajaan, ICA-AP dan ICA, selain memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti serta meningkatkan keterlihatan gerakan koperasi di peringkat antarabangsa.
Hadir sama ialah Pengerusi KOPERAD merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Haji Jamaludin Haji Husin.









































































































































