Perkongsian ilmu menerusi Forum Perdana Koperasi MADANI bertajuk “Koperasi Berkat, Komuniti Kuat, Negara Hebat” menjadi antara pengisian utama yang menghidupkan sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) di PICCA Convention Centre, Butterworth, Pulau Pinang pada 3 Julai 2026.
Program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) itu menampilkan Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Dr. Ustaz Haji Badli Shah Alauddin dan Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad sebagai panel, manakala Ustaz Mohd Annas Khamis atau lebih dikenali sebagai Da’i Annas sebagai moderator.
Program itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.
Dalam forum tersebut, Dato’ Dr. Ustaz Haji Badli Shah berkata, koperasi perlu mencontohi sifat Nabi Isa A.S yang diiktiraf sebagai insan yang diberkati (mubarak) sebagaimana dalam Surah Maryam ayat 31.
Menurut beliau, keberkatan Nabi Isa A.S bukan terletak pada mukjizat yang dikurniakan Allah SWT semata-mata, sebaliknya pada sifat Baginda yang sentiasa menyampaikan ilmu, mengajak kepada kebaikan, membantu masyarakat dan membawa manfaat kepada manusia di mana sahaja Baginda berada.
Beliau berkata, nilai tersebut wajar diterapkan dalam gerakan koperasi dengan menjadikan koperasi yang telah berjaya sebagai contoh dan pembimbing kepada koperasi baharu, selain sentiasa berusaha memenuhi keperluan masyarakat serta memberi manfaat kepada anggota dan komuniti.
Beliau turut menyeru koperasi agar menunaikan zakat sebagai antara amalan yang mampu menyuburkan keberkatan dalam perniagaan, di samping membuka pintu rezeki yang lebih luas.
Sementara itu, Datuk Ustaz Malai Ali berkata, kejayaan sesebuah koperasi tidak hanya bergantung kepada ilmu dan kemahiran mengurus perniagaan, sebaliknya perlu dipandu oleh adab, keikhlasan dan ketakwaan bagi memperoleh keberkatan dalam setiap usaha yang dilaksanakan.
Menurut beliau, koperasi juga perlu melihat rezeki bukan sekadar pada jumlah keuntungan yang diraih, tetapi pada keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kerana kejayaan sebenar lahir daripada pengurusan yang berteraskan iman, takwa dan nilai-nilai murni.
Beliau turut mengingatkan bahawa gerakan koperasi perlu mengimbangi ilmu dan iman dalam tadbir urus organisasi kerana iman tanpa ilmu akan menyebabkan seseorang berada dalam kekeliruan, manakala ilmu tanpa iman pula boleh membawa kepada kehancuran.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Presiden ANGKASA merangkap Anggota Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Pengarah Kewangan, Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Zairi Haji Mat Ali, barisan Anggota Lembaga Pengarah IKMa, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah serta barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN).
Program turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Saujana.


























