Koperasi SMK Bandar Rinching Semenyih Berhad menerima Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di SMK Bandar Rinching, Semenyih, Selangor pada 3 Julai 2026.
Pengiktirafan tersebut menjadi bukti kejayaan koperasi sekolah dalam memperkukuh budaya keusahawanan serta melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing dan berintegriti.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru, anggota lembaga koperasi serta agensi-agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang sentiasa menyokong pembangunan koperasi sekolah.
Beliau turut memuji kejayaan koperasi yang telah mempelbagaikan aktiviti perniagaan sehingga berjaya mencapai perolehan melebihi RM1 juta.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa koperasi sekolah bukan sekadar tempat menjalankan aktiviti jual beli, tetapi merupakan platform terbaik membentuk kepimpinan, semangat keusahawanan serta nilai integriti dalam kalangan pelajar. Saya berharap pencapaian ini menjadi pemangkin untuk koperasi sekolah terus melakar kejayaan yang lebih cemerlang,” kata beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga Disember 2025, terdapat 2,512 koperasi sekolah di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 2.1 juta murid dan pelajar serta mencatatkan perolehan melebihi RM604 juta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 koperasi sekolah berjaya merekodkan perolehan melebihi RM1 juta, sekali gus membuktikan keupayaan koperasi sekolah sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pembentukan modal insan negara.
Menurut beliau, ANGKASA akan terus memperkukuh pembangunan koperasi sekolah melalui latihan, bimbingan dan kerjasama strategik bersama KPM, SKM dan IKMa agar lebih banyak koperasi sekolah mampu berkembang sebagai organisasi yang inovatif, berdaya saing dan menjadi platform melahirkan generasi pemimpin serta usahawan masa hadapan.
Pendekatan ini selaras dengan usaha ANGKASA untuk memperkukuhkan ekosistem koperasi sekolah sebagai platform pembelajaran yang menggabungkan aspek akademik, kepimpinan dan keusahawanan.
Pengetua SMK Bandar Rinching, Puan Sarbanun Ismail dalam ucapannya berkata, beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pengiktirafan yang diterima oleh Koperasi SMK Bandar Rinching Semenyih Berhad.
Beliau menyifatkan kejayaan mencapai perolehan melebihi RM1 juta adalah hasil komitmen berterusan warga sekolah, Anggota Lembaga Koperasi, guru-guru, kakitangan serta para pelajar yang sentiasa menyokong pembangunan koperasi.
Beliau turut berharap pencapaian tersebut menjadi pemangkin untuk koperasi sekolah terus memperkukuh budaya keusahawanan, kepimpinan dan nilai integriti dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, koperasi sekolah bukan sahaja berperanan sebagai platform perniagaan, malah menjadi medan pembelajaran yang membentuk generasi muda yang berdaya saing, kreatif dan mampu menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi pada masa hadapan.
Koperasi SMK Bandar Rinching Semenyih Berhad merupakan antara koperasi sekolah yang aktif dan berjaya mempelbagaikan aktiviti perniagaan bagi memenuhi keperluan warga sekolah serta menjana pendapatan mampan.
Selain mengurus kedai koperasi, kiosk makanan dan minuman, perkhidmatan fotostat, percetakan serta jualan cenderamata dan produk inovasi, koperasi ini turut menjadi platform pembangunan sahsiah, kepimpinan dan keusahawanan pelajar melalui latihan pengurusan, program literasi kewangan, aktiviti kebajikan serta penyertaan dalam pelbagai program dan pertandingan koperasi di peringkat negeri dan kebangsaan.
Hadir sama ialah Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Encik Khairul Anuar, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Encik Mohd Fadzli Abu Bakar, Timbalan Pengerusi JKAN Selangor, Datin Hajah Nor Faridah A. Bakar, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Haji Nasaruddin Othman, Penolong Kanan KoKurikulum selaku Naib Pengerusi Koperasi SMK Bandar Rinching Semenyih Berhad, Puan Yusnaini Yusof serta Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Rinching, Encik Helmi Mohd Said.


























































