Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIKejohanan Petanque ANGKASA 2025 Melabuh Tirai di Kuala Kangsar

Kejohanan Petanque ANGKASA 2025 Melabuh Tirai di Kuala Kangsar

Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2025 melabuhkan tirainya di Arena Petanque Kuala Kangsar, Perak hari ini pada 21 September 2025 dengan menyaksikan pasukan dari pelbagai negeri muncul juara dalam kategori-kategori utama serta Kategori Jemputan ANGKASA.

Bagi Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Perempuan), pasukan Koperasi SMK (P) Sultan Abu Bakar Muar Berhad (Johor) muncul juara selepas mengatasi Koperasi SMK Dato’ Kailan Kepala Batas Berhad (Pulau Pinang). Tempat ketiga menjadi milik Koperasi Kolej Vokasional Kangar Perlis Berhad manakala Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lope Nor Rashid Tanjong Piandang Berhad (Perak) di kedudukan keempat.

Dalam Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Lelaki), pasukan Koperasi SMK Muadzam Shah Rompin Berhad (Pahang Timur) meraih tempat ketiga, manakala Koperasi SMK Klebang Besar Melaka Berhad di tempat keempat. Johan dan naib johan kategori tersebut akan diumumkan kemudian.

Bagi Kategori Koperasi Dewasa (Wanita), kemenangan berpihak kepada Koperasi Bakti Murni Perlis Berhad selepas menewaskan Koperasi Kulaan Malaysia Berhad (Selangor). Tempat ketiga menjadi milik Koperasi KTMB Ipoh Berhad (Perak) manakala Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Melaka Berhad di kedudukan keempat.

Dalam Kategori Koperasi Dewasa (Lelaki), Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (Wilayah Persekutuan) muncul juara selepas menundukkan Koperasi Masjid Kayu Ulul Albab Masjid Kayu Seberang Jerteh Besut Berhad (Terengganu) di pentas akhir. Tempat ketiga dimenangi Koperasi Ikram Negeri Sembilan Berhad manakala Koperasi FELDA Rimba Mas Perlis Berhad meraih tempat keempat.

Bagi keempat-empat kategori tersebut, johan membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi, pingat dan sijil penyertaan, naib johan menerima wang tunai RM2,000 berserta pingat dan sijil, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing meraih RM1,000 dan RM500 bersama pingat serta sijil penyertaan.

Sementara itu, Kategori Jemputan ANGKASA menyaksikan pasukan ANGKASA Negeri Sarawak dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan ANGKASA Negeri Terengganu yang muncul naib johan. ANGKASA Pahang Barat meraih tempat ketiga, manakala ANGKASA Negeri Melaka berpuas hati di tempat keempat.

Juara kategori jemputan menerima wang tunai RM900 bersama trofi, pingat dan sijil penyertaan, diikuti naib johan (RM600), tempat ketiga (RM450) dan tempat keempat (RM450), masing-masing bersama pingat serta sijil penyertaan.

Turut diadakan perlawanan penampilan istimewa yang mempertemukan pasukan kepimpinan ANGKASA. Tempat pertama dimenangi oleh pasukan yang diwakili Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang II (Tengah), Dato’ Haji Mohamad Hanifah B K Koya Moideen Kutty, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, serta Pengerusi ANGKASA Negeri Kelantan, Haji Wan Mohamad Zain Wan Abdullah.

Tempat kedua pula disandang oleh pasukan yang diwakili Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Pengerusi ANGKASA Negeri Perak merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk, Haji Mohamed Shafie Abd. Karim.

Majlis perasmian penutup kejohanan telah disempurnakan oleh Datuk Haji Mohamad Ali yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejohanan itu bukan sahaja medan pertandingan, malah platform mengukuhkan silaturahim warga koperasi melalui semangat kesukanan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Majlis Sukan Negara, Persatuan Boules Malaysia Negeri Perak serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan kejohanan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pengerusi ANGKASA Negeri Perak dan barisan kepimpinan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri Perak atas kesudian menjadi penganjur kejohanan pada tahun ini serta menjemput saya menyempurnakan majlis perasmian penutup. Tidak lupa juga kepada Bahagian Sekretariat dan Pengurusan Aset ANGKASA Ibu Pejabat yang telah menyelaras kejohanan ini bersama ANGKASA Negeri Perak,” katanya.

Turut berlangsung adalah penyerahan bendera dan Piala Pusingan Tuan Rumah Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 kepada negeri Sarawak yang diwakili Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, YB Dato’ Salbiah Mohamed turut hadir menyaksikan kejohanan serta melawat gerai pameran yang diadakan.

Hadir sama ialah Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Haji Mohamed Shafie Abd. Karim, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri dan Pengurus Besar Bahagian Sekretariat dan Pengurusan Aset ANGKASA, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine