Tuesday, March 3, 2026
HomeUncategorizedKerajaan Sasar Koperasi Capai Perolehan RM73 Bilion Menjelang 2030

Kerajaan Sasar Koperasi Capai Perolehan RM73 Bilion Menjelang 2030

Kerajaan menyasarkan sektor koperasi negara mencapai perolehan RM73 bilion menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 (DigiKOP 2030).

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin berkata, sasaran itu realistik sekiranya gerakan koperasi berani keluar daripada zon selesa dan beralih kepada model yang lebih cekap, telus serta dipacu teknologi.

“Sasaran tersebut hanya dapat dicapai jika koperasi berani berubah daripada model tradisional kepada model yang lebih berdaya saing dan dipacu teknologi.

Digitalisasi bukan pilihan, ia satu keperluan. Koperasi mesti memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan buatan untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan produktiviti dan menembusi pasaran baharu demi memastikan koperasi terus relevan, mampan dan menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 dan Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di Petaling Jaya pada 12 Februari 2026.

Menurut beliau, koperasi bukan sekadar entiti perniagaan, sebaliknya berperanan sebagai jentera perubahan ekonomi rakyat yang membina kekuatan komuniti serta merapatkan jurang ketidaksamaan.

Katanya, sehingga Jun 2025, Malaysia merekodkan lebih 16,000 koperasi dengan 7.4 juta anggota, aset hampir RM268 bilion serta perolehan melebihi RM40 bilion.

“Angka ini membuktikan koperasi kekal relevan dan berdaya saing. Namun, kita mahu koperasi melangkah lebih jauh dengan meneroka sektor strategik bernilai tinggi seperti rantaian bekalan makanan, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata IKMa memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan koperasi yang berilmu dan profesional sejak 70 tahun lalu. Tahun 2026 menjadi detik istimewa apabila IKMa menyambut Jubli Platinum penubuhannya, menandakan kesinambungan peranan pentingnya IKMa dalam membentuk masa depan koperasi negara bersama koperator.

“Tahun lalu sahaja, IKMa telah melaksanakan 777 program latihan termasuk Program Bimbingan Strategik dan Transformasi Digital (BESTARI) bagi memperkasa koperator dengan kemahiran semasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pengaktifan Persona Digital IKMa dikenali sebagai CikMa menjadi wajah dan suara digital rasmi institut tersebut bagi memudahkan akses latihan dan maklumat secara lebih pantas serta inklusif, khususnya kepada generasi muda.

Selain itu, penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia juga menandakan peluasan peranan IKMa daripada pusat latihan kepada institusi pendidikan tinggi berfokuskan koperasi dan keusahawanan.

Katanya, UKKM menyediakan laluan pembangunan modal insan daripada latihan profesional hingga ke peringkat akademik tertinggi termasuk program Doctor of Business Administration bermula Februari 2026 dan MBA secara pembelajaran jarak jauh pada April 2026.

“UKKM bukan sekadar universiti, tetapi manifestasi komitmen melahirkan generasi baharu koperator dan technopreneur yang mampu memimpin koperasi di peringkat nasional dan global,” ujarnya.

Dalam usaha memperluas akses pendidikan, UKKM menawarkan biasiswa melalui kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dengan 16 pelajar diluluskan tajaan melibatkan jumlah RM4.08 juta bagi tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dalam ucapan aluannya berkata, Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 dianjurkan bersempena ulang tahun ke-70 IKMa sebagai platform turun padang mendekati gerakan koperasi serta memperkukuh agenda transformasi sektor berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, IKMa telah menjalankan lebih 10,000 program kursus wajib kepada ahli lembaga koperasi. Bagi tahun ini, kami menyasarkan 650 program dan berharap dapat mencecah 40,000 peserta dari kalangan anggota dan kepimpinan koperasi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Haji Rahman Mohd Din, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, YB Tuan Onn Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi UKKM, Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan.

Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine