Tuesday, March 3, 2026
HomeKOPERASIKOBARA Jangka Tuai Hasil Sulung Cili Fertigasi November 2025

KOBARA Jangka Tuai Hasil Sulung Cili Fertigasi November 2025

Koperasi Bakti Ramai Lenggong Berhad (KOBARA) dijangka akan memulakan kerja-kerja menuai hasil sulung tanaman cili fertigasi bermula hujung bulan November 2025.

Projek tanaman cili fertigasi jenis Kulai itu merupakan sebahagian daripada Program SejaTi MADANI – Koperasi Luar Bandar, di bawah bimbingan ANGKASA dan dilaksanakan bagi membantu menjana pendapatan KOBARA dan anggota koperasi melalui pertanian moden fertigasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi yang juga Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail ketika melakukan lawatan ringkas ke tapak projek berkenaan yang terletak di Kampung Raban, Lenggong Perak pada 12 November 2025 telah diberi penerangan ringkas mengenai proses penanaman selain dibawa meninjau beberapa infrastruktur seperti rumah pam air, rumah semaian anak benih dan tempat pengumpulan hasil.

Beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Perak, Haji Mohd Shafie Abdul karim dan Pengerusi KOBARA, Encik Shahrul Nazli Haji Abdul Jalil turut menyatakan rasa kagum dengan kesungguhan anggota koperasi yang rata-ratanya terdiri daripada golongan belia menjayakan aktiviti tanaman pertanian moden tersebut.

Program SejaTi MADANI yang berada di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah menyediakan peruntukan geran sebanyak RM2 juta kepada ANGKASA bagi memperkasakan kegiatan koperasi di perkampungan MADANI.

Menerusi program tersebut, ANGKASA mahu supaya koperasi dapat menggerakkan aktiviti ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada seluruh komuniti dan bersesuaian dengan keperluan sebenar masyarakat di samping memastikan manfaat daripada peruntukan tersebut dapat membantu koperasi mencapai matlamat yang sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine