Menteri Dalam Negeri Malaysia, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Konvoi Trans ASEAN Madani 2026 yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni Program Persahabatan ASEAN–Jepun Abad ke-21 Malaysia (PAMAJA) dengan kerjasama ANGKASA dan Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA).
Beliau yang juga penaung program berkata, jumlah penduduk ASEAN yang kini mencecah 700 juta membuka peluang besar kepada gerakan koperasi. Melalui platform koperasi yang dijadikan wadah utama siri jelajah ini, Malaysia berpotensi memperkenalkan kekuatan gerakan koperasi tempatan kepada negara jiran serta meluaskan jangkauan produk dan perkhidmatan koperasi di pasaran serantau.
“Dalam masa sama, ia juga dianjurkan tepat pada masanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan memberi isyarat kepada dunia luar bahawa hubungan kerjasama antara Malaysia dan negara-negara ASEAN lain sangat kukuh dan bersatu.”
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Hi Tea – Konvoi Trans ASEAN Madani 2026 di Kuala Lumpur pada 6 Disember 2025.
Tambahnya, beliau percaya dengan kepimpinan setiap pihak untuk menjayakan Konvoi Trans ASEAN 2026 dan yakin usaha tersebut akan memberikan impak besar kepada pelancongan negara, pembangunan ekonomi komuniti dan pengukuhan hubungan serantau.













Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, ANGKASA melihat konvoi ini sebagai peluang memperkasa perpaduan serantau dalam bidang ekonomi, budaya dan sosial, sekali gus mengangkat semangat kerajaan MADANI yang menekankan kerjasama, keterangkuman dan pembangunan bersama.
“Sebagai Presiden ACO, saya diberikan amanah untuk memimpin rangkaian koperasi ASEAN yang kini dianggotai 11 buah negara, dengan lebih 66.6 juta anggota melalui lebih 347,599 buah koperasi. Ini adalah kekuatan besar yang boleh digembleng untuk mewujudkan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan di rantau ini.
Dengan jumlah yang begitu besar, koperasi ASEAN mempunyai potensi untuk memperkukuh rangkaian perdagangan rakyat serantau. Melalui platform ACO, kita sedang berusaha membangunkan rangkaian C2C atau rangkaian perniagan Cooperative to Cooperative menghubungkan koperasi antara negara terutama dalam sektor halal, pertanian, makanan, logistik, kraftangan dan pelancongan komuniti,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAMAJA, Dato’ Sahariman Hamdan dalam ucapannya berkata, Konvoi Trans ASEAN Madani 2026 yang akan bermula dari 1 hingga 16 Januari 2026 adalah langkah awal dan simbolik kepada semua inisiatif serantau ini.
“Ia bukan sekadar perjalanan merentas lima negara iaitu Malaysia, Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja, malah mencerminkan semangat ASEAN dalam mempromosi pelancongan desa, menghubungkan komuniti akar umbi dan memperkukuh peranan koperasi.
Dengan 18 buah kenderaan dan lebih 100 peserta, kita akan bekerjasama dengan rakan koperasi serantau seperti The Friendship Youth Alumni Association of Thailand (FYAA), Lao Alumni Youth Club for Friendship Program (Laos), JICA Alumni of Cambodia (Kemboja) dan lain-lain bagi menjayakan pelbagai aktiviti koperasi, kebudayaan dan promosi produk,” jelasnya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penasihat PAMAJA, Dato’ Abd Wahab Yasin, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengerusi KOPAMA, Datuk Abd Rahim Haji Hashim.



