HomeANTARABANGSAKOPERAD Teruja Terima Kunjungan Sulung Delegasi Antarabangsa

KOPERAD Teruja Terima Kunjungan Sulung Delegasi Antarabangsa

Koperasi Homestay Kampung Peruas Raub Berhad (KOPERAD) teruja menerima kunjungan delegasi luar negara buat julung kalinya ke Desa Kirana, Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang pada 22 Julai 2026.

Delegasi tersebut terdiri daripada 23 peserta mewakili 14 organisasi dari tujuh negara Asia Pasifik yang menyertai Program Imersi Serantau ICA-AP Mengenai Pelancongan Koperasi (ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism) yang berlangsung di Raub dan Jerantut, Pahang dari 22 hingga 26 Julai 2026.

Ketibaan mereka disambut meriah oleh warga KOPERAD yang diketuai Pengerusinya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Haji Jamaludin Haji Husin, bersama penduduk kampung.

Program bertemakan ‘Pelancongan Koperasi – Meneroka Potensi Perniagaan’ itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman tinggal bersama komuniti setempat melalui ekosistem pelancongan koperasi Malaysia.

Peserta dibahagikan kepada lima keluarga angkat yang terdiri daripada penduduk Kampung Peruas bagi membolehkan mereka menghayati kehidupan, budaya dan amalan harian masyarakat setempat dengan lebih dekat.

Sepanjang program, peserta akan mengikuti sesi perkongsian berstruktur, lawatan tapak serta berinteraksi secara langsung dengan koperasi yang mengendalikan produk dan perkhidmatan pelancongan.

Turut menyantuni peserta ialah Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, serta Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balasubramanian (Balu) Iyer.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata program tersebut bertujuan meletakkan pelancongan koperasi bukan sekadar sebagai aktiviti komuniti, malah sebagai model perniagaan yang berdaya maju untuk menjana pendapatan, memperluas akses pasaran serta memperkukuh jaringan perdagangan dalam kalangan koperasi di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata, program itu turut mengetengahkan beberapa model pelancongan koperasi terpilih, termasuk pelancongan koperasi sekolah dan koperasi inap desa (homestay) berasaskan komuniti sebagai contoh amalan terbaik yang berpotensi untuk diperluaskan.

Menurut beliau, model berkenaan membuktikan pelancongan koperasi mampu menyumbang kepada penjanaan pendapatan, pembangunan keusahawanan, penglibatan golongan belia serta meningkatkan penyertaan komuniti dalam ekonomi setempat.

Program Imersi Serantau ICA-AP Mengenai Pelancongan Koperasi dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP serta Jawatankuasa Koperasi dalam Institusi Pendidikan ICA-AP (ICEI) dengan ANGKASA sebagai tuan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine