Program Semarak Pembudayaan Koperasi dan Sesi Libat Urus bersama Koperasi telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi KUSKOP, YB Datuk Mohamad Alamin yang berlangsung di Masjid Jamek An-Nur, Rembau, Negeri Sembilan pada 23 Julai 2026.
Program tersebut menghimpunkan koperasi, usahawan serta agensi di bawah KUSKOP bagi memperkukuh kerjasama dan pembangunan gerakan koperasi di peringkat akar umbi.
Sebelum itu, YB Datuk Mohamad Alamin mengadakan sesi walkabout bersama lima usahawan TEKUN di DUN Chembong dan lima lagi usahawan TEKUN di DUN Kota, Parlimen Rembau.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau meninjau perkembangan perusahaan tempatan serta mendengar sendiri keperluan usahawan sebelum menghadiri sesi libat urus bersama koperasi pada sebelah petang.
Sementara itu, YB Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan setiap agensi di bawah KUSKOP bergerak secara lebih terselaras bagi memperkukuh pembangunan usahawan dan koperasi.
Sesi libat urus seperti ini membolehkan kerajaan memahami keperluan sebenar di lapangan serta merangka inisiatif yang lebih berkesan demi memperkasa koperasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
YB Datuk Mohamad Alamin turut menyeru agar ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta semua agensi di bawah KUSKOP terus memperkukuh kerjasama strategik dalam membantu meningkatkan prestasi ekonomi koperasi.
“Gerakan koperasi perlu mengamalkan budaya kerja yang lebih profesional dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. Dalam menghadapi cabaran seperti kenaikan harga barangan akibat faktor ekonomi global dan kos tenaga, koperasi perlu lebih pantas mengubah strategi perniagaan agar terus berdaya saing serta mampu meningkatkan perolehan dan memberi manfaat kepada anggotanya,” katanya.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Program ini menjadi platform penting dalam menyemarakkan budaya berkoperasi serta mengoptimumkan hubungan strategik antara KUSKOP, ANGKASA, agensi dan koperasi.
Kerjasama yang erat ini akan memperkasakan gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi komuniti secara mampan.
Majlis turut diteruskan dengan sesi penyampaian cek cura bantuan dan pinjaman Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada tiga koperasi yang berjaya menerima kelulusan bantuan bagi memperkukuh aktiviti perniagaan masing-masing.
Penyampaian tersebut melibatkan Koperasi Agro Ulu Pari Berhad menerusi Program Sejati MADANI Koperasi bernilai RM78,334.50, Koperasi Hanya D’ Pasoh Berhad sebanyak RM100,000.00, serta Koperasi FELDA Wanita Sungai Lui Negeri Sembilan Berhad menerusi Tabung Modal Pusingan SKM berjumlah RM113,240.00. Bantuan ini diharap dapat membantu koperasi memperluas operasi, meningkatkan keupayaan perniagaan serta memberi manfaat lebih besar kepada anggota.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan, Encik Radiatul Fitri Dollah serta Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman.





























