Sebanyak sembilan daripada sepuluh sumber rezeki datang daripada bidang perniagaan. Rasulullah SAW berniaga. Saidatina Khadijah juga berniaga. Malah, para pendakwah Islam yang datang ke Melaka dahulu seperti Sayyid Abdul Aziz turut menyebarkan Islam melalui perniagaan.
Penyebaran Islam berkembang pesat bukan sahaja melalui dakwah lisan, malah diperkukuh menerusi aktiviti perniagaan yang menjadi medium utama para pendakwah terdahulu.
Demikian dinyatakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam ketika merasmikan Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Azim, Kampung Bukit Palah, Melaka pada 7 Ogos 2025.
“Kita ini kalau bersendirian, memang sukar untuk jadi kaya. Sebab itu kita perlu berpakat di bawah koperasi. Hari ini, sepatutnya kita bercerita mengenai kejayaan koperasi, bukan lagi sekadar usaha menubuhkannya.
Sebagai contoh, kalau kita seorang, memang susah nak beli tanah. Tetapi melalui koperasi kariah masjid, kita boleh bergabung tenaga, beli tanah dan bangunkan perniagaan bersama. Inilah pentingnya koperasi – satu untuk semua, semua untuk satu,” ujarnya.





















































Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta ANGKASA Negeri Melaka dan Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (KOGMAS).
Terdahulu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, YB Datuk Rahmad Mariman dalam ucapannya berkata, sebanyak 64 koperasi kariah masjid telah direkodkan di negeri Melaka sehingga 30 Jun 2025, dengan jumlah perolehan mencecah RM2.85 juta — peningkatan hampir 100 peratus berbanding tahun 2021.
Tambah beliau, pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Melaka telah memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 bawah inisiatif Bantuan Pembangunan Ekonomi Koperasi Kariah Masjid Negeri Melaka (e-KOMAS) untuk membantu koperasi kariah masjid membeli peralatan. Sebanyak13 koperasi telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut, khususnya dalam pembangunan Barakah Hub.
Beliau juga berkata, bagi tahun 2025, kerajaan negeri sekali lagi menyediakan dana pemerkasaan koperasi kluster mikro berjumlah RM300,000, meliputi RM200,000 bagi bantuan kewangan dan RM100,000 untuk pembangunan koperasi.
Pada konvensyen terbabit juga dilancarkan Buku Garis Panduan: Pendaftaran Koperasi Kariah Masjid dan Surau Negeri Melaka.
Sebagai pengisian program, turut diadakan forum bual bicara bertajuk ‘Koperasi Kariah Masjid: Teras Ekonomi Nadi Ummah’ yang menampilkan panel jemputan terdiri daripada Pengarah SKM Cawangan Negeri Melaka, Encik Mustafa Kamal Mohd Nor, Pegawai Tadbir Agama Daerah Alor Gajah JAIM, Ustaz Huzailan Hamzah dan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah. Forum tersebut dikendalikan oleh Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka merangkap Pengerusi KOGMAS, Haji Zaidan Haji Abd Hadi.
Turut diadakan adalah taklimat bertajuk ‘Cabaran Dalam Pengurusan Koperasi Kariah Masjid di Semenanjung Malaysia’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perundingan Koperasi, Institut Koperasi Malaysia, Puan Roziah Mohamed.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Haji Azam Sulaiman dan Pengarah JAIM, YBhg. Datuk Md Azhan Samat.