Thursday, July 31, 2025
HomeANTARABANGSAKoperasi Kariah Masjid Solusi Permasalahan Ummah Global

Koperasi Kariah Masjid Solusi Permasalahan Ummah Global

Keunikan geografi dan demografi di Mindanao, Filipina menunjukkan potensi besar bagi penubuhan Koperasi Kariah Masjid (KKM) yang berupaya menyelesaikan pelbagai permasalahan sosioekonomi umat Islam di sana.

Menurut Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, walaupun populasi Muslim di Filipina secara keseluruhan hanya sekitar lapan juta atau kurang 10 peratus, enam juta daripadanya berada di Mindanao.

“Jumlah tersebut bersamaan 25 peratus penduduk di Mindanao dan banyak wilayah mempunyai konsentrasi Muslim tertinggi seperti Lanao Del Sur sebanyak 96 peratus, Sulu sebanyak 97 peratus, Tawi-Tawi sebanyak 98 peratus dan Basilan sebanyak 90 peratus.

Dengan kekuatan yang dimiliki, KKM bukan sahaja berpotensi untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan ummah, malah mampu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pelbagai isu, termasuk pembekalan produk halal seperti ayam dan daging kepada seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang agama.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Memperkasa Koperasi Kariah Masjid: Satu Perkongsian Strategik NCMF-ANGKASA bagi Pembangunan Ekonomi Inklusif dan Mampan di Lanao Del Sur, Filipina pada 15 Julai 2025.

Tambahnya, kejayaan kerjasama antara National Commission on Muslim Filipinos (NCMF) dan ANGKASA menubuhkan 11 buah KKM di Filipina sejak 2023 menjadi bukti komitmen dan visi masyarakat Muslim di sana bahawa KKM merupakan wadah tepat untuk mengubah nasib ummah, bukan sahaja di Filipina, malah seluruh dunia.”

“ANGKASA akan terus komited berkongsi kepakaran dan tenaga kerja dalam menyokong pertumbuhan koperasi di Filipina. Pihak NCMF dan para pemimpin koperasi juga diundang untuk mengunjungi Malaysia bagi program lawatan pendedahan, latihan dan pertukaran pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha NCMF, YB Sabuddin N. Abdurahim dalam ucapannya berkata, Mindanao mempunyai cabaran unik, namun turut memiliki peluang yang amat besar dalam konteks pemerkasaan umat Islam negara tersebut.

“Model KKM yang diperkenalkan ANGKASA di Filipina telah memberikan impak positif bukan sahaja mendidik masyarakat tentang keusahawanan dan semangat kerjasama, malah turut memperkasa komuniti dengan model perniagaan mampan,” ujarnya.

Delegasi ANGKASA turut berkesempatan menyampaikan cenderahati kepada wakil Gabenor Wilayah Lanao del Sur, YB Mamintal Adiong Jr. di pejabatnya dan melawat Kamapiyaan Sa Tagoranao Marketing Cooperative yang mengusahakan produk berasaskan coklat secara kendiri.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah NCMF Wilayah Lanao, Encik Lominog Lao, Pengarah Bureau of Muslim Economic Affairs, NCMF, Puan Saleha P. Sacar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Bahagian Koperasi, Bureau of Muslim Economic Affairs (BMEA), NCMF, Encik Almojin D. Pandapatan, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Seksyen Malaysian Business Office (MBO), Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine