Koperasi SMK Bintulu Berhad melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM1 juta bagi tahun kewangan berakhir 2023, sekali gus menjadikannya koperasi sekolah kedua di Sarawak yang mencapai angka berprestij itu.
Bagi meraikan kejayaan tersebut, satu Majlis Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah telah diadakan di Dewan Cenderawasih, SMK Bintulu, hari ini (13 Oktober 2025).
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid, JPN Sarawak, Encik Awangku Ali Udin Awang Adenani dan Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin.
Menurut Pengetua SMK Bintulu merangkap Pengerusi Koperasi, Encik Rosli Salleh, inspirasi untuk mencapai sasaran RM1 juta bermula selepas lawatan penanda aras ke SMK Kota, Kelantan. Kejayaan itu katanya adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga sekolah dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pihak ANGKASA.
Sementara itu, Dato’ Haji Kamarudin menegaskan bahawa koperasi sekolah bukan sahaja berperanan sebagai entiti menjana keuntungan, malah berfungsi sebagai platform pendidikan praktikal yang berkesan dalam membentuk pelajar yang berwibawa, berdisiplin dan beramanah.
“Koperasi sekolah harus dilihat sebagai medan latihan keusahawanan yang mampu melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi dalam pengurusan dan kepimpinan,” ujarnya dalam ucapan perasmian.
Antara manfaat yang dinikmati hasil perolehan koperasi termasuklah pembangunan bakat keusahawanan pelajar, latihan pengurusan koperasi dan sumbangan semula keuntungan kepada sekolah melalui pelbagai inisiatif pendidikan serta kebajikan.
Pencapaian itu juga diharap dapat menjadi cetusan inspirasi kepada koperasi sekolah lain di seluruh negara untuk terus maju dan berdaya saing dan seterusnya membantu memperkasakan sosioekonomi anggota koperasi.










