Thursday, October 16, 2025
HomeANTARABANGSALawatan Delegasi NACF ke ANGKASA Kukuhkan Solidariti Koperasi

Lawatan Delegasi NACF ke ANGKASA Kukuhkan Solidariti Koperasi

Seramai 57 delegasi National Agricultural Cooperative Federation (NACF), Korea Selatan, termasuk 50 pengerusi koperasi pertanian dari seluruh negara itu, mengadakan lawatan rasmi ke ANGKASA di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 26 Ogos 2025. Delegasi tersebut diketuai Presiden Agricultural Cooperative University, NACF, Mr. Son Byung-Hwan.

Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail dalam ucapannya menyatakan bahawa hubungan kerjasama antara ANGKASA dengan NACF telah lama terjalin, khususnya dalam bidang pertanian. Hasil kerjasama itu adalah Projek Ternakan Lembu Tenusu dan Heifers’ Park ANGKASA yang diusahakan di Kluang, Johor.

“Kerjasama tersebut diperkukuh melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara ANGKASA dengan NACF pada tahun 2017 untuk membangunkan industri tenusu di Malaysia. Menerusi MoU itu, NACF bersetuju membekalkan sperma lembu tenusu baka unggul dari Korea Selatan bagi menghasilkan baka yang mampu mengeluarkan lebih banyak susu berbanding lembu tempatan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Mr. Son Byung-Hwan dalam ucapannya menekankan kepentingan solidariti koperasi sebagai ‘nadi komuniti’ yang melindungi kepentingan anggota dan masyarakat. Hubungan antara koperasi, katanya, diibaratkan seperti adik-beradik yang saling melengkapi dan menyokong demi kelestarian ekonomi bersama.

Lawatan itu bukan sahaja menegaskan hubungan erat antara ANGKASA dengan NACF dalam memajukan sektor koperasi, khususnya pertanian, malah memperluas jaringan kerjasama Malaysia–Korea Selatan serta perkongsian pengalaman yang memberi manfaat kepada gerakan koperasi antarabangsa.

Ditubuhkan pada tahun 1961 melalui penggabungan koperasi pertanian dan Bank Pertanian, NACF, atau lebih dikenali sebagai NongHyup di Korea Selatan telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara tersebut. Kini, NACF diiktiraf sebagai salah satu persekutuan koperasi paling berjaya di dunia.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine