Forum Asia Pacific Cooperative Market Access 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari bermula 27 hingga 28 April di Xi’an, China, sebagai platform strategik dalam memperkukuh jaringan perdagangan antara koperasi di rantau Asia Pasifik.
Program anjuran ICA Asia and Pacific Trade and Business Committee ini memberi penekanan kepada peningkatan daya saing, akses pasaran serta kerjasama rentas sempadan dalam kalangan gerakan koperasi.
Memasuki hari kedua pada 28 April, forum diteruskan dengan Sesi 3 yang memfokuskan kepada penilaian perdagangan dan penyelarasan strategik menerusi tajuk “Is This Product Trade-Ready? A Cooperative Market Reality Check”.
Sesi ini menilai produk yang dipersembahkan semasa Member Product Showcase melalui panel berstruktur yang memberikan maklum balas strategik berkaitan tahap kesiapsiagaan produk, kesesuaian pasaran serta ruang penambahbaikan.
Panel ini dikendalikan oleh Mr. Losefo Koroidimuri sebagai moderator bersama barisan panelis berpengalaman dari pelbagai negara termasuklah SNCF, Singapore, Mr. Ang Hin Kee, Saigon Coop, Vietnam, Mr. Le Truong Son, Guangdong Supply & Marketing Green Agri-products Base Operation Co China, Ms. Tenny Zhang serta BBSSL, India, Mr. Chetan Joshi.
Seterusnya, Sesi 4 bertemakan Cooperative Market Trends & Opportunities telah disampaikan oleh Mr. Vo Hoang Anh yang berkongsi pandangan mengenai pasaran serantau, trend pengguna serta sektor-sektor baharu yang berpotensi tinggi.
Penekanan turut diberikan kepada kategori produk yang berkembang pesat termasuk produk mesra alam, perusahaan diterajui wanita serta barangan berteraskan tanggungjawab sosial.
Sesi 5 pula menampilkan Mr. Ang Hin Kee yang membincangkan trend dan strategi perdagangan koperasi. Pembentangan ini memberi tumpuan kepada pendekatan praktikal untuk menembusi pasaran, membina struktur urus niaga yang berkesan serta mengenal pasti potensi kerjasama dan peluang perdagangan.
Turut diketengahkan ialah kepentingan produk dan inisiatif yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk inovasi, kelestarian dan pendekatan berteraskan koperasi.
Sebagai kesinambungan forum, sesi Expression of Trade Interest telah membuka ruang kepada ahli untuk menyatakan minat awal dalam pelbagai bentuk kerjasama seperti pesanan perintis, perkongsian sumber, kolaborasi pengedaran serta rundingan dua hala.
Inisiatif ini menjadi langkah penting dalam menggerakkan perbincangan ke arah tindakan konkrit, dengan sokongan sekretariat bagi menyelaras susulan pasca forum.
Seterusnya, majlis penutup disempurnakan oleh Naib Presiden ICA-AP merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk tuan rumah, All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), para penceramah, panelis serta peserta atas komitmen dan penglibatan aktif sepanjang program.
Menurut beliau, program anjuran ICA Asia and Pacific Trade and Business Committee itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara koperasi, malah membuka ruang kepada impak ekonomi yang lebih besar di peringkat serantau dan nasional, selaras dengan semangat gerakan koperasi yang menekankan kerjasama demi kesejahteraan bersama.
Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan aktif peserta membuktikan kesediaan koperasi untuk bergerak ke hadapan dalam membina hubungan perdagangan yang lebih kukuh di samping menghargai usaha sekretariat yang memastikan kelancaran program melalui dedikasi dan koordinasi yang cemerlang.
Mengakhiri ucapannya, beliau menekankan bahawa momentum yang terhasil daripada forum ini perlu diteruskan melalui tindakan susulan yang berkesan, dengan inisiatif seperti Expression of Interest sebagai langkah penting dalam menghubungkan idea kepada kerjasama sebenar.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed, Pengarah MyANGKASA Trading Sdn Bhd, Encik Amiruddin Abdullah dan dan wakil-wakil koperasi anggota ICA Asia Pasifik serta delegasi antarabangsa.


























