Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah mengadakan satu pertemuan rasmi bersama Presiden All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), Ms. Wang Yuyan, bertempat di Sofitel Xi’an on RenMin Square, Xi’an, China, 26 April 2026.
Pertemuan selama 30 minit ini berlangsung disertai delegasi kanan kedua-dua pihak termasuk pegawai utama ACFSMC.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas layanan baik yang diberikan oleh pihak ACFSMC sepanjang kunjungan di Xi’an.
Beliau menegaskan bahawa pertemuan di peringkat kepimpinan seperti ini amat penting dalam memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih strategik antara kedua-dua organisasi.
Hubungan erat antara ANGKASA dan ACFSMC disifatkan sebagai satu ikatan persahabatan yang kukuh, berteraskan kepercayaan, hormat-menghormati serta kerjasama berterusan sejak sekian lama.
Sepanjang perbincangan, kedua-dua pihak mengimbas kembali pelbagai bentuk kerjasama terdahulu termasuk program pertukaran, latihan serta penyertaan dalam platform antarabangsa.
ANGKASA turut menghargai peluang yang diberikan kepada koperasi Malaysia untuk terlibat dalam program anjuran ACFSMC, sekali gus memperkukuh kapasiti dan jaringan antarabangsa.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mengiktiraf kekuatan sistem koperasi ACFSMC yang tersusun dan bersepadu, khususnya dalam menyokong sektor pertanian, komuniti luar bandar serta pembangunan rantaian bekalan.
Beliau menyatakan bahawa model yang diamalkan oleh ACFSMC boleh dijadikan contoh dalam memperkukuh akses pasaran dan kecekapan pengedaran.
Dalam konteks kerjasama serantau pula, kedua-dua organisasi komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam ICA Asia Pacific serta saling menyokong dalam pelbagai inisiatif termasuk pemilihan lembaga global akan datang.
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa hubungan sedia ada perlu diterjemahkan kepada hasil yang lebih konkrit melalui aktiviti seperti padanan perniagaan, pembangunan produk dan perdagangan sebenar antara koperasi.
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata serta makan malam, mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia-China dalam sektor koperasi.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Naib Presiden, ACFSMC, Mr Xu Guanghong, Pengarah, Pejabat Am, ACFSMC, Mr Chen Anning, Pengarah, Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Mr Cong Shan dan Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.




















