Tuesday, April 28, 2026
HomeANTARABANGSAForum Asia Pasifik Cooperative Market Access 2026 Perkukuh Jaringan Perdagangan Serantau

Forum Asia Pasifik Cooperative Market Access 2026 Perkukuh Jaringan Perdagangan Serantau

Forum Asia Pacific Cooperative Market Access 2026 merupakan satu platform yang memperkukuh jaringan perdagangan antara koperasi di rantau Asia Pasifik serta meningkatkan akses ke pasaran global. Program ini berlangsung selama dua hari, bermula dari 27 hingga 28 April di Xi’an, China.

Majlis Perasmian Forum Asia Pacific Cooperative Market Access 2026 ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan Timbalan Gabenor Kerajaan Wilayah Shaanxi, Mr Wu Wengang, diikuti Naib Presiden ICA-AP merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta Presiden All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), Ms. Wang Yuyan. 

Program anjuran ICA Asia and Pacific Trade and Business Committee itu menghimpunkan pemain koperasi bagi meningkatkan daya saing dan menekankan kepentingan penglibatan aktif koperasi dalam perdagangan bagi memastikan kelangsungan dan daya tahan dalam pasaran global yang semakin kompetitif serta menghimpunkan koperasi Asia Pasifik bagi memperkukuh jaringan perdagangan antara koperasi.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, “Forum ini memperkukuh jaringan perdagangan koperasi serantau serta meningkatkan keupayaan produk koperasi menembusi pasaran global,” sekali gus meneruskan momentum kejayaan forum edisi 2024 dan 2025.

Sesi pertama yang bertemakan Market Insights and Orientation telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Jawatankuasa Kerja Perdagangan & Perniagaan ICA-AP, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Sesi ini memberi fokus kepada penetapan konteks perdagangan koperasi, termasuk objektif utama sesi, jangkaan hasil perdagangan serta kepentingan menghubungkan aktiviti perdagangan dengan amalan bertanggungjawab dan mampan dalam pasaran koperasi.

Turut menjadi tumpuan ialah pembentangan ucaptama bertajuk Successful Cooperative Trade Practices oleh Mr. Chetan Joshi dari Bharatiya Beej Sahakari Samiti Limited (BBSSL).

Beliau berkongsi amalan terbaik dalam perdagangan koperasi antara ahli, termasuk memahami jangkaan pembeli runcit, pematuhan kepada piawaian produk serta pengurusan aspek kualiti, harga dan konsistensi bekalan.

Selain itu, pengalaman dan pengajaran daripada sumber serta pengedaran serantau turut dikongsikan bagi meningkatkan keupayaan koperasi menembusi pasaran lebih luas.

Sesi kedua pula menampilkan Member Product Showcase yang dikendalikan oleh Setiausaha Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.

Dalam sesi ini, koperasi diberi peluang membuat pembentangan selama 15 minit dalam dua pusingan melibatkan 9 koperasi. Pembentangan tersebut memberi tumpuan kepada keupayaan produk, proses pengeluaran, elemen kelestarian serta potensi perdagangan rentas sempadan. Penekanan turut diberikan kepada potensi dagangan dan peluang kerjasama strategik antara koperasi.

Program diteruskan dengan pembentangan pusingan seterusnya serta aktiviti jaringan perniagaan (networking) yang membuka ruang kepada peserta untuk mengenal pasti produk koperasi berpotensi tinggi sama ada melalui pemilihan awal atau interaksi secara langsung di lokasi.

Inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh akses pasaran koperasi serta merancakkan kerjasama perdagangan rentas sempadan di rantau Asia Pasifik.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata forum ini menjadi platform penting untuk memperluaskan kerjasama perdagangan antara koperasi di peringkat antarabangsa serta meningkatkan kesiapsiagaan produk ke pasaran global.

Menurut beliau, “Forum ini membuka ruang kepada koperasi untuk memperkukuh jaringan perdagangan, meningkatkan daya saing produk serta meneroka peluang kerjasama strategik di peringkat serantau.”

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan berasaskan latihan praktikal dan interaksi perniagaan dalam forum ini mampu membantu koperasi memperbaiki strategi komersial, selain memastikan produk memenuhi keperluan pasaran dan piawaian antarabangsa.

Hadir sama ialah Pengarah MyANGKASA Trading Sdn Bhd, Encik Amiruddin Abdullah dan wakil-wakil koperasi anggota ICA Asia Pasifik serta delegasi antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine