Thursday, October 16, 2025
HomeAKTIVITISenamrobik Bulanan "FITT KJ" Hidupkan Semangat Kebersamaan di SMK Kelana Jaya

Senamrobik Bulanan “FITT KJ” Hidupkan Semangat Kebersamaan di SMK Kelana Jaya

Program Senamrobik Bulanan “FITT KJ” Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelana Jaya yang berlangsung pada 24 September 2025 disambut meriah dengan penyertaan ratusan pelajar, guru dan warga sekolah. Acara yang julung kali diadakan tersebut bukan sekadar aktiviti riadah tetapi turut menjadi wadah pembentukan disiplin, kecergasan dan sahsiah pelajar. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa senamrobik adalah asas penting untuk tubuh badan sihat, minda cerdas dan emosi stabil, sekali gus membantu pelajar lebih fokus serta bersemangat dalam pembelajaran.

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menambah, pelajar yang aktif bersukan dan bersenam lebih fokus ketika belajar, ceria serta bersemangat untuk mencapai kecemerlangan akademik. Program “FITT KJ” turut diangkat sebagai identiti unik sekolah kerana melambangkan kecergasan, disiplin dan kebersamaan warga SMK Kelana Jaya.

Selain itu, beliau turut menggesa koperasi sekolah untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong penganjuran program sebegini, termasuk melalui tajaan atau sumbangan hadiah yang diyakini mampu meningkatkan motivasi pelajar. Katanya, gabungan antara aktiviti kesihatan, akademik dan koperasi akan melahirkan pelajar holistik yang berilmu serta berdaya kepimpinan.

Sementara itu, Pengetua SMK Kelana Jaya dalam ucapan aluannya berkata, Program “FITT KJ” akan dijadikan aktiviti bulanan wajib sekolah dan sentiasa diperkasakan, termasuk melalui penganjuran pertandingan serta kerjasama bersama pihak kerajaan, agensi dan swasta agar pelaksanaannya lebih meriah.

Beliau turut memuji inisiatif Panitia Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) SMK Kelana Jaya yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan lagu khas bagi Program “FITT KJ.” Usaha tersebut wajar dipuji kerana membuktikan guru dan pelajar berani mencuba teknologi baharu serta mampu menjadikan program ini lebih segar, menarik dan dekat di hati warga sekolah.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Guru Penolong Kanan 1 SMK Kelana Jaya, Puan Siti Sarah Mohd Yunos, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Kelana Jaya, Cik Yee Kar Yin, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kelana Jaya, Puan Rohaidah Haji Ali dan Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kelana Jaya, Encik Abdul Razak Yahya @ Zakaria.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine