Thursday, July 31, 2025
HomeANTARABANGSASokongan ASEAN-BAC Perkukuh Usaha ACO Angkat Resolusi ACD 2025

Sokongan ASEAN-BAC Perkukuh Usaha ACO Angkat Resolusi ACD 2025

Usaha bagi memastikan resolusi hasil daripada ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) diangkat dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober 2025 diteruskan oleh ASEAN Co-operative Organization (ACO).

Antara langkah yang diambil termasuklah kunjungan hormat ke atas ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC Malaysia) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Nazir Razak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 30 Julai 2025.

Pertemuan itu diketuai oleh Presiden ACO merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah. Hadir sama ialah Setiausaha Agung ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.

Dalam pertemuan itu, Tan Sri Nazir menyatakan sokongan terhadap usaha ACO untuk mengangkat resolusi berkenaan, termasuk inisiatif bagi mengiktiraf ACO sebagai badan induk yang mewakili gerakan koperasi di peringkat ASEAN.

Beliau turut menyokong usaha ACO agar koperasi tidak diletakkan di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN memandangkan penglibatannya merentasi pelbagai sektor, justeru lebih sesuai berada bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN.

Tan Sri Nazir juga mencadangkan agar ACO bertindak segera dengan memberi penekanan terhadap kepentingan penyelarasan awal bersama pihak berkaitan, khususnya Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, bagi memastikan resolusi tersebut mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya daripada kepimpinan tertinggi ASEAN.

ACD 2025 merupakan acara koperasi serantau utama yang julung kali dianjurkan, menghimpunkan lebih 250 perwakilan dari 13 negara, termasuk negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan China.

Program itu telah berlangsung dari 12 hingga 14 Mei 2025 di Sunway Resort Hotel bersempena Pengerusian ASEAN oleh Malaysia serta pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menetapkan tahun 2025 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa.

Sepanjang dialog tersebut, empat resolusi strategik telah dipersetujui bersama yang memberi tumpuan terhadap pengukuhan peranan koperasi dalam pembangunan serantau yang inklusif, mampan dan berasaskan rakyat. Resolusi itu turut mencerminkan aspirasi bersama gerakan koperasi ASEAN untuk memainkan peranan yang lebih signifikan dalam kerangka Komuniti Ekonomi ASEAN.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine