Saturday, November 15, 2025
HomeAKTIVITIYayasan ANGKASA Lancar Tabung Dana Pendidikan Anak Koperasi Sabah

Yayasan ANGKASA Lancar Tabung Dana Pendidikan Anak Koperasi Sabah

Yayasan ANGKASA terus komited memperkasa pendidikan anak-anak anggota koperasi di Sabah menerusi pelancaran Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA untuk Anak-Anak Koperasi Negeri Sabah yang berlangsung dalam satu majlis Hi-Tea bersama para penyumbang di Hotel The Klagan, Kota Kinabalu, hari ini (23 Oktober 2025).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick, yang menyatakan sokongan penuh serta merakamkan tahniah atas inisiatif berkenaan. Beliau menyifatkan penubuhan tabung tersebut sebagai satu pelaburan jangka panjang yang strategik untuk masa depan negara.

“Sumbangan kepada tabung ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata. Ia adalah pelaburan dalam membina generasi baharu yang berilmu, beretika dan berdaya saing — generasi koperasi yang mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Terdahulu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, tabung ini bukan sahaja memanfaatkan anak-anak anggota yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, malah turut memberi peluang kepada warga koperasi untuk mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang berkaitan koperasi.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 2000, Yayasan ANGKASA telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kewangan, biasiswa dan pembiayaan kepada pelajar anak koperasi di seluruh negara. Sehingga tahun 2024, sebanyak 1,898 pelajar telah menerima tajaan dengan jumlah pembiayaan mencecah RM34.95 juta.

Tambah beliau, pelancaran tabung khas ini merupakan inisiatif strategik Yayasan ANGKASA bagi memperluas capaian bantuan pendidikan secara inklusif kepada anak-anak anggota koperasi di Sabah. Melalui tabung ini, Yayasan menyasarkan untuk menaja sekitar 30 pelajar anak koperasi di negeri ini bagi tahun akademik 2026/2027, menerusi skim biasiswa dan bantuan pendidikan.

“Ramai anak anggota koperasi di Sabah mempunyai potensi luar biasa, namun terhalang oleh kekangan kewangan. Tabung ini diwujudkan khusus untuk membuka lebih banyak peluang kepada mereka agar dapat melanjutkan pelajaran dan mencapai kejayaan,” ujarnya.

Majlis ini turut menghimpunkan wakil-wakil koperasi, agensi kerajaan, syarikat korporat serta individu yang telah dan bakal tampil sebagai penyumbang kepada dana pendidikan tersebut. Ia juga menjadi platform strategik bagi mengukuhkan jaringan kerjasama antara Yayasan ANGKASA dan koperasi di Sabah dalam bidang pendidikan, latihan serta pembangunan modal insan.

Turut hadir ialah Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Encik Azizul Alias, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Dato’ Haji Zazali Haron, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Haji Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine