ANGKASA telah memeterai kolaborasi dengan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) pada Majlis Academia – Industry Collaboration 3.0 (AIC 3.0) 2025 : Celebrating UPTM Student’s Excellence And Future Career yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada 23 Oktober 2025.
Objektif kerjasama strategik ANGKASA dan UPTM itu merangkumi Penempatan Latihan Industri Pelajar UPTM di koperasi-koperasi dan ANGKASA; kolaborasi penyelidikan dan berkongsi bidang kepakaran penyelidikan dalam sektor koperasi; pengembangan, pendidikan dan kesedaran tentang koperasi; pembangunan perniagaan koperasi dan pertukaran kepakaran dan pengetahuan dalam bidang yang ada kaitan dengan koperasi.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik hadir mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bagi menerima MoU diiringi Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan.
Terdahulu, Pengerusi MARA merangkap Pro-Canselor UPTM, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki dalam ucaptamanya berkata, kehadiran seramai 640 orang pelajar cemerlang yang merupakan penerima Sijil Anugerah Dekan pada hari itu, membuktikan kesungguhan dan kecemerlangan masing-masing ketika menuntut di institusi pendidikan MARA dalam bidang akademik dan ia wajar diraikan dan dihargai.
“Kejayaan ini merupakan sebuah permulaan untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih yakin di samping berbakti kepada keluarga dan masyarat, menjadi model dan mentor terbaik khususnya dalam kalangan rakan dan adik-adik junior terutama dalam membanteras isu buli, bunuh diri serta sedia bekerja secara berpasukan dalam dunia kerjaya yang sebenar ’, ujarnya.
Katanya lagi, kadar kebolehpasaran graduan UPTM terus menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu daripada 91.5 peratus pada tahun 2023 kepada 93.1 peratus pada tahun 2024. Pencapaian ini jelas mencerminkan keunggulan kualiti pendidikan serta kesungguhan seluruh warga UPTM dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan diyakini oleh industri.
Beliau menyeru supaya hubungan akademia dan industri ini terus diperkukuhkan melalui projek penyelidikan bersama, program latihan industri, serta perkongsian kepakaran yang berterusan. Program seperti AIC 3.0 ini, akan memastikan para pelajar UPTM supaya lebih bersedia untuk menterjemahkan ilmu ke dalam amalan, meningkatkan kebolehpasaran diri, dan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.
“Satu lagi detik bersejarah yang berlaku ialah peluncuran Program Bachelor of Artificial Intelligence (Honours) yang akan mula menerima pengambilan pelajar sulungnya pada sesi Mei 2026 iaitu sebuah inisiatif yang bakal melahirkan generasi baharu pemimpin teknologi masa depan.
Menurut beliau, program ini dirangka dengan visi melahirkan graduan yang juga pengguna teknologi, selain menjadi pencipta solusi pintar yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat dan industri. Peluncuran program ini amat signifikan kepada institusi ini, malah juga untuk negara dan dunia yang sedang berdepan gelombang Revolusi Industri 4.0.’ujarnya lagi.
Pemeteraian kolaborasi strategik itu melibatkan UPTM bersama 29 rakan industri dan empat universiti antarabangsa. Majlis diteruskan dengan penyampaian Sijil Anugerah Dekan Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Institut Pengajian Profesiona, Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Pengkomputeran & Multimedia.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman, Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik Menjalankan Tugas Timbalan Ketua Pengarah, Puan Lailatul Asamah Mohd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation, Encik Yahaya Sani dan Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shikh @ Shiekh.


























