Komitmen berterusan ANGKASA terhadap budaya integriti dan tadbir urus terbaik sekali lagi membuahkan hasil apabila tersenarai dalam kelompok 10 terbaik Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 bagi kategori swasta buat kali ketiga berturut-turut.
Anugerah berprestij tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sempena Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 bertempat di Putrajaya pada 22 Oktober 2025.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga turut menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada dua organisasi dari sektor awam dan swasta yang telah menjalankan inisiatif pembudayaan integriti, governans dan anti rasuah sebagai agenda utama dalam pengoperasian organisasi mereka.
Dalam ucapannya, Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat perlu bermula dengan pengukuhan tadbir urus (governans), integriti dan penolakan terhadap rasuah.
“Jika mahu selamatkan diri kita, keluarga kita dan jamin masa depan anak-anak kita dan jamin hebatnya negara Malaysia tercinta ini, ia mesti bermula dengan governans, integriti dan penolakan rasuah,” katanya.
Sebelum ini, ANGKASA telah menerima AIGA Kategori Perak dua kali berturut-turut pada tahun 2023 dan 2024.













Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan kesungguhan seluruh warga ANGKASA dalam membudayakan integriti, ketelusan dan akauntabiliti pada setiap peringkat operasi.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi cerminan kepada amalan tadbir urus baik yang konsisten. Ia menjadi dorongan untuk terus memperkukuh sistem pengurusan sedia ada agar lebih telus dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui pemberita PELANCAR selepas majlis tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Ahli Lembaga Pengarah IIM, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud.









Kepimpinan ANGKASA yang hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Anggota Lembaga ANGKASA terdiri daripada Encik Azizul Alias (Wakil KUSKOP) dan Encik Ezleezan Othman (Wakil Kementerian Kewangan), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad.



