Friday, June 20, 2025
HomeAKTIVITIMAAB Perluas Pasaran Produk dengan 6 Rakan Strategik

MAAB Perluas Pasaran Produk dengan 6 Rakan Strategik

MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) terus komited dalam usahanya memperluaskan pasaran produk perancangan dan pentadbiran harta pusaka menerusi pemeteraian kerjasama strategik (MoU) bersama enam rakan strategik baharu.

Rakan strategik tersebut adalah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), MSC Trustgate .com Sdn. Bhd., 2nd Chance Consolidation Sdn. Bhd., Caliph Life Sdn. Bhd. dan Koperasi EZ Empire Berhad.

Sesi penyerahan dokumen tersebut diadakan semasa berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAAB 2025 di Grand Pacific Ballroom, Ara Damansara, Subang pada 9 April 2025.

Majlis tersebut juga turut menghimpunkan lebih 1,500 tetamu yang terdiri daripada rakan strategik, wakil-wakil institusi kewangan, koperasi dan syarikat korporat dalam suasana harmoni yang mencerminkan semangat silaturrahim dan perpaduan.

Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, majlis tersebut bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sempena Aidilfitri, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan kerjasama strategik yang akan membawa manfaat besar kepada MAAB khususnya dan masyarakat amnya.

Tambahnya, MAAB akan terus mengekalkan iltizam dalam memperkasakan masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan amanah, perancangan harta serta pelaksanaan inisiatif berlandaskan syariah yang mampan dan inklusif.

Turut berlangsung ialah Sumbangan Duit Raya kepada Anak-Anak Yatim Pusat Jagaan Darul Sakinah, sumbangan wakaf bernilai RM10,766.00 kepada Yayasan Infaq ANGKASA dan Sumbangan Waqaf bernilai RM5,000.00 kepada Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (YAWATIM).

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Pengerusi MAAB merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, barisan Ahli Lembaga Pengarah MAAB dan barisan Pengerusi ANGKASA Negeri.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine