Tuesday, June 10, 2025
HomeAKTIVITIHawana 2025 Angkat Tema Kewartawanan Era Baharu: Mengimbangi AI dan Etika

Hawana 2025 Angkat Tema Kewartawanan Era Baharu: Mengimbangi AI dan Etika

Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTC KL) akan mengangkat tema ‘Kewartawanan Era Baharu: Mengimbangi AI dan Etika’.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, dalam era transformasi digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi cara maklumat dikumpul, diproses dan disebarkan.

โ€œSambutan kali ini mengangkat persoalan penting mengenai teknologi dengan nilai-nilai asas kewartawanan agar boleh bergerak secara seiring dan bukan saling bertentangan. Jadi, seharusnya rakan-rakan wartawan membantu untuk masyarakat mengemudi soalan-soalan yang begitu penting mengenai adab, etika dan kesesuaian dalam menggunakan aplikasi dan teknologi-teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Rakan Strategik HAWANA 2025 dan Perasmian Motorhome BERNAMA di Wisma Bernama, Kuala Lumpur pada 3 Jun 2025.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

Menurut Datuk Ahmad Fahmi, nilai-nilai asas kewartawanan perlu terus dipertahankan dalam era teknologi baharu, khususnya ketika berdepan dengan cabaran kecerdasan buatan generatif (Gen AI) yang semakin meluas penggunaannya sekali gus menyeru wartawan untuk memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami dan menilai secara kritis penggunaan teknologi seperti Gen AI, khususnya dari sudut ketepatan maklumat serta tanggungjawab penyampaian.

Beliau berharap agar sambutan HAWANA 2025 akan menjadi wadah dan wacana penting dalam kalangan wartawan tempatan serta antarabangsa, untuk meneliti bersama perubahan global yang memberi impak kepada industri media.

Katanya lagi, HAWANA 2025 bukan hanya tertumpu kepada majlis kemuncak pada 14 Jun ini, tetapi pelbagai aktiviti dan acara telah dirancang antaranya Pesta Pantun HAWANA-DBP, Karnival dan Pameran, Forum Media HAWANA anjuran bersama Bernama dan Institut Akhbar Malaysia (MPI), Program UNESCO-Young Creator Fellowship anjuran MalaysiaKini dengan kerjasama UNESCO, Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kementerian Komunikasi, Jelajah HAWANA di politeknik premier serta Karnival Sukan HAWANA.

HAWANA 2025 menerima tajaan dan sumbangan daripada 79 rakan strategik, meningkat berbanding 44 pada tahun lalu sekali gus mencerminkan kepercayaan yang semakin meningkat terhadap penganjuran acara terbesar dalam industri kewartawanan negara.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merupakan antara penaja terlibat dengan sumbangan sebanyak RM10,000.Tajaan tersebut dibuat atas dasar penghargaan ANGKASA kepada media dan wartawan yang telah banyak membantu menyebarluas berita dan perkembangan terkini gerakan koperasi di Malaysia.

Sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di WTC KL pada 13 hingga 15 Jun ini dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan golongan media profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut adalah pelancaran logo HAWANA 2025 dan Motorhome โ€“ BERNAMA Mobile Studio yang menyaksikan BERNAMA menjadi antara media di Malaysia yang memiliki studio siaran bergerak lengkap untuk pelaporan berita di lapangan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine