Program Mawaddah Rahmah Ramadan 2026 anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bersama ANGKASA menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam dan gerakan koperasi.
Timbalan Ketua Akauntan Negara (Korporat), Haji Nasran Omar berkata, program yang dilaksanakan secara konsisten sejak 2022 itu membuktikan hubungan antara ANGKASA dan JANM bukan sekadar kerjasama rasmi, sebaliknya telah berkembang menjadi hubungan kekeluargaan yang erat serta berteraskan kepercayaan.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Program Mawaddah Rahmah Ramadan 2026 yang berlangsung di pejabat Jabatan Akauntan Negara (JANM), Putrajaya pada 5 Mac 2026.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Akauntan Negara Malaysia, Dato’ Zainani Jusoh, Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Haji Mohd Azraai Md Aznan, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi PUSPANITA JANM, Puan Siri Jawiah Asri, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIN), Encik Azeman Miskah, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd. Hamid, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain.
Tambah Haji Nasran, objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk mengekalkan serta memperkukuh kerjasama strategik antara ANGKASA dan JANM dalam membangunkan inisiatif ekonomi dan sosial yang inklusif serta mampan.
“Dalam masa yang sama, ia menjadi wadah mengeratkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam dan gerakan koperasi,” katanya.



























Sebelum itu, Dato’ Haji Che Mohd Shukree dalam ucapannya berkata, aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang dilaksanakan membawa simbolik yang sangat besar.
“Semangkuk bubur mungkin kelihatan sederhana, namun di sebaliknya terselit nilai kerjasama, semangat rewang serta toleransi.
Lebih bermakna lagi, bubur lambuk yang dimasak bukan sahaja diagihkan kepada warga JANM, malah turut disalurkan kepada kementerian-kementerian berhampiran di Putrajaya. Inilah manifestasi sebenar konsep “Bersatu kita Aman Ramadan Tambah Iman” yang mana daripada satu dapur, kita sebarkan kasih sayang kepada seramai mungkin penerima,” jelasnya.
Beliau juga berharap agar kerjasama erat antara ANGKASA dan JANM akan terus diperkukuh dan diperluas pada masa akan datang, bukan sahaja dalam program kebajikan seperti ini, malah dalam inisiatif ekonomi, kewangan dan pembangunan koperasi yang lebih strategik demi kesejahteraan bersama.
Dalam majlis sama, ANGKASA dan PUSPANITA JANM turut mengagihkan sumbangan Bakul Ramadan kepada 150 warga JANM yang terdiri daripada pemandu, pembantu operasi, pembantu keselamatan, pegawai OKU, anak OKU, ibu tunggal, pekerja pembersihan dan RELA dalam bentuk barangan asas dengan nilai RM100 setiap satu.
Pada sebelah malamnya, program ditutup dengan Majlis Iftar bersama JHEAIN yang merangkumi ceramah agama, sumbangan bantuan hari raya, majlis berbuka puasa dan solah tarawih.



