Tuesday, March 10, 2026
HomeAKTIVITI50 Asnaf dan Ibu Tunggal Tanjong Karang Terima Bantuan Bakul Makanan ANGKASA

50 Asnaf dan Ibu Tunggal Tanjong Karang Terima Bantuan Bakul Makanan ANGKASA

Seramai 50 asnaf dan ibu tunggal wanita muda sekitar Tanjong Karang, Selangor menerima bakul makanan sumbangan ANGKASA menerusi Program Serahan Bakul Makanan kepada Asnaf dan Ibu Tunggal Wanita Muda yang berlangsung di Tanjong Karang pada 8 Mac 2026.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata program yang dianjurkan oleh ANGKASA dengan kerjasama Persatuan Generasi Bestari Selangor itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ANGKASA dalam menyantuni masyarakat serta anggota koperasi khususnya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Beliau berkata, pelbagai program kebajikan telah dilaksanakan oleh ANGKASA bagi membantu golongan kurang bernasib baik selain menggalakkan masyarakat mengambil peluang untuk berkongsi rezeki dan memberi manfaat kepada orang lain di bulan Ramadan yang mulia.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan masyarakat agar menubuhkan atau menyertai koperasi supaya dapat menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

“Kita memerlukan lebih banyak koperasi ditubuhkan bagi membantu masyarakat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan untuk menjana ekonomi.

ANGKASA menyediakan banyak peluang dan bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Jualan Rahmah Madani dan BA100 yang boleh dimanfaatkan koperasi,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Sungai Burong, Tuan Maruwan Ahmad dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas kesudian menyalurkan bantuan kepada golongan wanita kurang berkemampuan di Tanjong Karang.

Menurutnya, sumbangan bakul makanan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima terutama dalam menghadapi bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Generasi Bestari Selangor, Cik Siti Nurul Diyana Mat Sehat berkata pihaknya merancang untuk menubuhkan koperasi wanita muda sebagai platform bagi membolehkan golongan tersebut menyertai program pembangunan setempat.

Setiap bakul makanan bernilai RM50 sumbangan ANGKASA tersebut mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, bihun, tepung, sardin, kopi, ketupat mini dan lain-lain. Penerima terdiri daripada penduduk sekitar Tanjong Karang yang merangkumi kawasan DUN Sungai Burung dan DUN Permatang.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Setiausaha UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tuan Zahrul Nazlinizam Haji Ahmad Nawawi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang, Encik Mohd Fauzee Bukhari, Pengerusi Biro Belia dan NGO UMNO Bahagian Tanjong Karang merangkap Jawatankuasa Persatuan Generasi Bestari Selangor, Dato’ Haji Shahrizal bin Haji Sahri dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine