Wednesday, April 29, 2026
HomeAKTIVITIANGKASA Tekan Kepentingan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Warga Kerja

ANGKASA Tekan Kepentingan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Warga Kerja

ANGKASA menekankan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk aspek psikososial dalam kalangan warga kerjanya.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, dalam ucapannya menegaskan bahawa keselamatan di tempat kerja bukan sekadar melibatkan risiko fizikal, sebaliknya turut merangkumi kesejahteraan mental dan psikososial pekerja. Menurut beliau, pendekatan menyeluruh dan berterusan perlu diberi perhatian bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif dapat diwujudkan.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Bersama Presiden edisi April 2026 yang diadakan bersempena Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya pada 24 April 2026. Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kesibukan tugas tidak seharusnya menyebabkan aspek keselamatan dan kesihatan dipinggirkan, sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan kerja.

Sempena sambutan tersebut, pelbagai program dirangka secara menyeluruh dan inklusif hasil kerjasama Bahagian Korporat ANGKASA, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Pengurusan Aset serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ANGKASA.

Antara program yang dilaksanakan ialah Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, ceramah bertajuk “Bagaimana Keadaan Kerja Anda: Bersama Memastikan Persekitaran Psikososial Kerja Yang Sihat” oleh Pengarah Urusan Klinik TTDI, Dr. Mansor Ramli serta Sesi Konsultasi Minda Sihat. Selain itu, Program Saringan Kesihatan Kebangsaan turut dianjurkan dengan penglibatan seramai 183 warga kerja ANGKASA bagi memberi peluang kepada mereka untuk menilai tahap kesihatan masing-masing secara berkala dan lebih terancang.

Di samping itu, ANGKASA turut menganjurkan Kempen 3S yang menekankan amalan susun, sisih dan sedekah, Kempen Kongsi Beg Bersama, Cabaran 10,000 Langkah Edisi 2026 yang disertai seramai 95 peserta serta Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Resutisasi Kardiopulmonari (CPR).

Turut berlangsung ialah taklimat mengenai Yayasan Infaq ANGKASA (YIA) oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohd Azlan Yahya serta penyampaian hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada anak warga ANGKASA.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob, Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Ketua Pegawai Eksekutif MyANGKASA Amanah Berhad, Encik Zaidi Shahrim, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Haji Mohd Nasiruddin Othman, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin serta barisan Pengurusan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine