Friday, May 1, 2026
HomeAGENSIIndonesia Sasar Perluas Kerjasama Koperasi dengan Malaysia.

Indonesia Sasar Perluas Kerjasama Koperasi dengan Malaysia.

Kunjungan delegasi Indonesia kali ini menjadi langkah penting dalam usaha memperkasa gerakan koperasi melalui perkongsian amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh jati diri koperasi, malah mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam konteks kerjasama serantau ASEAN dan global.

Demikian dinyatakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika menerima kunjungan delegasi lawatan sambil belajar daripada Kementerian Koperasi Republik Indonesia (KEMENKOP) dan Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) di Wisma Ungku Abdul Aziz, Kelana Jaya pada 30 April 2026.

Menurut beliau, penglibatan aktif dalam platform antarabangsa membolehkan badan apeks koperasi menyuarakan kepentingan koperasi kecil dan sederhana agar manfaat ekonomi dapat diagihkan secara lebih adil dan inklusif.

Delegasi seramai 45 orang dari Indonesia itu diketuai oleh Penasihat Kementerian Koperasi Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Agung Nur Fajar.

“Saya berharap DEKOPIN dapat mempertimbangkan penglibatan lebih aktif di peringkat antarabangsa, khususnya melalui Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA),” ujar beliau.

Tambahnya lagi, pada 2 April 2026, ACO telah secara rasmi diiktiraf sebagai Entiti Bersekutu ASEAN (Associate Entity) di bawah kategori Organisasi Masyarakat Sivil.

Pengiktirafan ini meletakkan gerakan koperasi sebagai rakan strategik rasmi dalam memacu agenda ekonomi dan sosial di bawah kerangka ASEAN.

Beliau turut menyatakan harapan agar KEMENKOP terus menyokong pelaksanaan program-program ACO demi kesejahteraan 66.6 juta anggota koperasi di seluruh ASEAN.

Dalam perkembangan berkaitan, barisan Anggota Lembaga ANGKASA yang diketuai oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Hj. Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dijadual mengadakan kunjungan ke Padang dan Bukit Tinggi, Indonesia dari 7 hingga 9 Mei 2026.

Misi tersebut bertujuan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir serta komuniti setempat sebagai tanda solidariti sesama rumpun.

ANGKASA turut menyampaikan harapan agar inisiatif Koperasi Merah Putih di Indonesia terus mencatat kejayaan pada masa hadapan.

Menurut rekod, gerakan koperasi di ASEAN menunjukkan kekuatan yang signifikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 347,599 koperasi dan keanggotaan mencecah 66.6 juta orang. Sektor ini turut menyumbang sekitar US$195 bilion kepada KDNK serantau, iaitu kira-kira 5 peratus daripada keseluruhan KDNK ASEAN bernilai US$3.5 trilion, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 11 juta individu.

Walau bagaimanapun, sekitar 90 peratus koperasi di ASEAN masih berada pada tahap mikro, manakala hanya 10 peratus tergolong dalam kategori sederhana dan premier.

Sehubungan itu, ANGKASA dan ACO menetapkan matlamat strategik untuk meningkatkan jumlah koperasi dalam kategori sederhana dan premier sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2035.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan; Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Haji Mohd Nasiruddin Othman; Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine