Sunday, May 3, 2026
HomeANTARABANGSAMB Perlis Angkat Peranan NAT Antarabangsa Dalam Pembangunan Ekonomi Negeri

MB Perlis Angkat Peranan NAT Antarabangsa Dalam Pembangunan Ekonomi Negeri

Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Abu Bakar Hamzah menyempurnakan Wacana NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026: Cabaran dan Masa Depan serta Kenduri ANGKASA Negeri Perlis di Dewan PJS, Kangar pada 3 Mei 2026.

Dalam ucapannya, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang selari dengan pendekatan seperti program NAT. Antaranya termasuk pembangunan sektor agromakanan moden yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran, malah membuka peluang kepada koperasi dan usahawan memasarkan produk secara terus kepada pengguna melalui platform seperti NAT.

“Pembangunan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dengan kerjasama Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) bukan sahaja tertumpu kepada industri berskala besar, malah turut mewujudkan rantaian ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan kecil dan koperasi sebagai pembekal serta penyokong kepada ekosistem tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kedudukan strategik Perlis sebagai negeri sempadan memberikan kelebihan dalam memperkukuh perdagangan rentas sempadan Malaysia–Thailand. Penyertaan usahawan dari kedua-dua negara dalam NAT ini membuktikan potensi Perlis sebagai pintu masuk kepada aktiviti perdagangan serantau yang lebih rancak.

“Perlis mempunyai dua laluan keluar masuk ke Thailand yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk usaha mengaktifkan semula laluan di Kuala Perlis. Langkah ini dijangka mampu merancakkan pergerakan ekonomi, memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan Thailand serta merangsang sektor pelancongan dan perdagangan,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti, dengan NAT dilihat sebagai contoh terbaik bagaimana aktiviti ekonomi boleh digabungkan dengan tarikan pelancongan yang unik dan autentik.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Perlis, Dr. Ammar Hassan dalam ucapannya menyatakan hasrat untuk memperkukuh peranan koperasi sebagai penggerak utama ekonomi negeri, termasuk menjadikan koperasi sebagai entiti peneraju atau “big brother” dalam pembangunan ekonomi Perlis.

Wacana tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian program NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 yang menampilkan barisan panel terdiri daripada Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan, Pengerusi Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO), Haji Ahmad Nizam Abdul Latif serta penerbit dan pengarah filem, Erma Fatima.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Ammar sebagai moderator dan berlangsung selama dua jam, membincangkan cabaran serta hala tuju masa depan pembangunan koperasi dan ekonomi komuniti dalam konteks semasa.

Perbincangan menegaskan keperluan koperasi beralih menjadi pengeluar serta kepentingan NAT dalam mengutamakan penyertaan usahawan tempatan, selain memperluas pasaran dan meningkatkan kebolehpasaran produk koperasi.

Turut berlangsung ialah sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyANGKASA Travel Sdn. Bhd. dengan PT Travel 4-All Indonesia dan Koperasi Rabithah Alawiyah Malaysia Berhad dengan Skash Marketing (M) Sdn. Bhd.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Dato’ Noor Azman Abdul Rahman, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Perlis, Encik Abdul Rahman Ngatenan @ Adnan, Naib-Naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA serta barisan JKAN Perlis.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine