Wednesday, May 13, 2026
HomeAGENSIANGKASA Sambut Ulang Tahun Ke-55 dengan Aspirasi Baharu

ANGKASA Sambut Ulang Tahun Ke-55 dengan Aspirasi Baharu

ANGKASA menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-55 pada tarikh bersejarah, 12 Mei 2026. Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, organisasi itu telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan transformasi daripada sebuah entiti kecil yang bertapak di Petaling Jaya kepada badan apeks koperasi yang dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata demikian dalam Sesi Bersama Presiden yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz pada 12 Mei 2026.

Menurut beliau, gerakan koperasi di negara ini telah bermula sejak tahun 1922 apabila undang-undang koperasi pertama diperkenalkan. Sejak itu, koperasi berkembang sebagai instrumen ekonomi rakyat yang penting dan signifikan kepada pembangunan negara.

Katanya, keperluan untuk menyatukan koperasi-koperasi di seluruh negara telah membawa kepada penganjuran Kongres Koperasi yang menjadi titik awal kepada idea penubuhan sebuah badan induk nasional.

“Usaha tersebut diperkukuh melalui Kongres Kerjasama Malaysia Kedua pada tahun 1971 yang meluluskan resolusi penting bagi menubuhkan sebuah organisasi yang mampu mewakili serta menyelaras keseluruhan gerakan koperasi negara secara lebih tersusun dan berkesan,” ujar beliau.

Hasil resolusi tersebut, ANGKASA telah didaftarkan secara rasmi pada 12 Mei 1971 sekali gus menandakan penubuhan sebuah badan apeks yang menyatukan koperasi di seluruh negara di bawah satu payung.

Pada tahun 1996, ANGKASA secara rasmi diiktiraf kerajaan sebagai badan apeks yang mewakili gerakan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai suara utama koperasi negara.

Seiring perkembangan semasa, Aspirasi Koperasi Malaysia (ASKOM) diperkenalkan sebagai kerangka penting yang memperjelaskan hala tuju gerakan koperasi negara. ASKOM menekankan keperluan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi utama seperti ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia agar setiap peranan dapat dilaksanakan secara lebih efektif tanpa pertindihan, sekali gus memperkukuh keseluruhan ekosistem koperasi negara.

Kini, ANGKASA berkembang sebagai sebuah organisasi yang kukuh dengan pelbagai sektor pembangunan perniagaan serta keupayaan meneroka peluang baharu dalam pelbagai bidang ekonomi.

Hubungan erat dengan kerajaan terus menjadi pemangkin kejayaan melalui sokongan dasar, inisiatif pembangunan serta pengiktirafan terhadap koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat yang inklusif dan mampan, selaras dengan peranan ANGKASA sebagai badan apeks negara.

Dalam usaha memperkukuh budaya kerja dan identiti organisasi, ANGKASA turut memperkenalkan Buku Nilai Teras (Core Value) ANGKASA sebagai panduan etika dan budaya kerja kepada seluruh warganya.

Buku tersebut menggariskan nilai teras utama iaitu Sadik, Amanah dan Telus sebagai tunjang integriti organisasi, di samping nilai bersama seperti Fatanah, Adab, Integriti, Sinergi, Cemerlang, Lestari, Harmoni dan Inovasi sebagai pemacu budaya kerja serta kecemerlangan operasi.

Beliau berharap penghayatan nilai-nilai tersebut akan terus memperkukuh jati diri warga ANGKASA serta memastikan organisasi itu kekal dipercayai, relevan dan mampan sebagai peneraju gerakan koperasi negara.

Dalam meraikan kejayaan yang dicapai, beliau turut mengingatkan bahawa cabaran masa hadapan semakin kompleks dan memerlukan semua pihak terus berinovasi, memperkukuh daya saing organisasi, melaksanakan transformasi digital serta mengadaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Haji Abdullah Haji Jusoh berkata, ANGKASA bermula dengan Bahagian Potongan Gaji ANGKASA (BPA) sebagai sumber pendapatan utama sejak tahun 1977.

Menurut beliau, semangat bekerja walaupun dengan gaji yang rendah pada ketika itu telah menjadi antara faktor yang membolehkan ANGKASA berdiri teguh sehingga hari ini.

“Apa yang kita bina hari ini adalah untuk 100 tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ANGKASA perlu terus berkembang demi masa depan dengan mengekalkan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan organisasi sejak penubuhannya.

Katanya lagi, sokongan Anggota Lembaga ANGKASA sejak era kepimpinan Allahyarham Prof. Diraja Ungku A. Aziz, Allahyarham Dato’ Haji Abdul Rahim Abu Bakar dan Allahyarham Dato’ Haji Mohd Ali Haji Baharum telah banyak menyumbang kepada kejayaan serta pencapaian ANGKASA hari ini.

Tambah beliau, nilai integriti yang tinggi serta ketahanan mental dan fizikal warga ANGKASA amat penting dalam memastikan organisasi itu terus kukuh, berdaya saing dan mampu melangkah menuju aspirasi ANGKASA 100 tahun.

Pada majlis tersebut turut diadakan pelancaran Buku Nilai Teras ANGKASA, penyampaian sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi Program Qurban Kasih 2026 dan Klinik Kasih 2026.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah; Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Kewangan Malaysia), Encik Ezleezan Othman; Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain; Pengerusi JKAN Negeri Selangor, Prof dr. Haji Mansor Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad; Regional Director International Cooperative Alliance Asia and Pacific, Mr. Balasubramaniam Iyer; Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Anuar Bulin; barisan Penasihat Korporat ANGKASA serta pengurusan kanan ANGKASA dan subsidiarinya.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine