ANGKASA melalui Yayasan Infaq ANGKASA telah melaksanakan Program Qurban Kasih 2026 sempena sambutan Aidiladha di tiga buah negeri pada 28 dan 29 Jun 2026.
Program tersebut melibatkan nilai sumbangan terkumpul berjumlah RM132,000.00 dan menerusinya, sebanyak 30 ekor lembu telah berjaya dibeli dan dikorbankan iaitu 10 ekor (Pulau Pinang), 15 ekor (Kedah) dan lima ekor (Perlis).
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, selain menguruskan penyertaan peserta ibadah korban mengikut jumlah bahagian masing-masing, program itu turut memberi penekanan kepada tajaan golongan asnaf dan kurang berkemampuan untuk sama-sama menunaikan ibadah korban.
Inisiatif itu katanya dibentuk dan dilaksanakan melalui Yayasan Infaq ANGKASA bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk melaksanakan ibadah korban melalui dana sumbangan penginfaq.
Menurut beliau, seramai 210 orang asnaf telah dapat ditaja pada tahun ini dan jumlah tersebut dilihat sebagai sangat memberangsangkan berbanding projek rintis pada tahun lalu (2025) yang memberi manfaat kepada 25 orang asnaf.
Beliau berharap Program Infaq Kasih dapat terus berkembang dengan sumbangan lebih ramai penginfaq dan golongan asnaf yang terlibat pada tahun hadapan.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri yang terlibat dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya.





























